KLANG – Pembukaan pusingan U sementara di Seksyen 4 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) membantu melancarkan aliran trafik khususnya bagi pengguna dari arah Petaling Jaya, Subang, Shah Alam dan Klang.
Seorang pengguna jalan raya, Mohd Helmi Rahmat, 42, berkata, kemudahan pusingan U itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.
Menurutnya, sebelum ini kawasan itu sering mengalami kesesakan teruk akibat aliran trafik yang tinggi.
"Dengan adanya pusingan U ini, ia dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu pagi dan sebelah petang.
"Saya sendiri menggunakan laluan ini kerana bekerja di kawasan berhampiran, jadi saya tahu keadaan trafik di sini sebelum ini memang agak sesak," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mohd Helmi berkata, pembukaan laluan itu juga membantu menjimatkan masa perjalanan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
"Saya difahamkan laluan ini akan ditutup apabila Seksyen 3 siap sepenuhnya, sekali gus menghubungkan Seksyen 2 dan Seksyen 4 menjelang akhir 2026," jelasnya.
Katanya, langkah menyediakan laluan alternatif seperti pusingan U sementara itu wajar kerana dapat memberi kemudahan kepada pengguna selain membantu melancarkan pergerakan trafik di kawasan terbabit.
Seorang pengguna jalan raya, Mohd Shah Rizman Mohd Yakob, 38, berkata, langkah itu juga membantu mengelakkan pertemuan kenderaan dari dua arah yang sebelum ini sering menjadi punca kesesakan.
"Selain itu, pusingan U ini dapat mengelakkan risiko kemalangan apabila kenderaan di persimpangan lampu isyarat bertemu di laluan bersebelahan," jelasnya.
Mohd Alif Hafizi Mohd Nor Azman, 27, pula berkata, kemudahan itu memudahkan pergerakan pengguna jalan raya yang berulang-alik ke kawasan berhampiran termasuk Klang dan Pelabuhan Klang.
"Penyediaan laluan alternatif seperti ini memberi manfaat kepada pengguna tetap jalan berkenaan selain membantu melancarkan aliran trafik di kawasan terbabit terutama menjelang Aidilfitri nanti," tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE Holdings Bhd, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, satu pusingan U sementara akan dibuka di sepanjang laluan Seksyen 4 bagi membolehkan pengguna jalan raya dari arah Lebuhraya Persekutuan untuk kembali ke arah asal yang dapat mengurangkan kesesakan aliran trafik di sekitar Klang, Shah Alam, Subang serta Petaling Jaya.
“Memandangkan pembinaan di kawasan Kampung Jawa masih dijalankan dan bahagian Seksyen 4 telah siap, kami memutuskan untuk membuka satu pusingan U sementara bagi membolehkan pengguna menikmati perjalanan lebih lancar serta kurang sesak," jelas beliau.


