
PERTANDINGAN nyanyian solo Puspa Voice 2.0 anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Sabah menjadi platform penting mencungkil serta menyerlahkan bakat nyanyian dalam kalangan wanita sekali gus memperkasa peranan mereka dalam bidang seni dan kebudayaan.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, Pengerusi Puspanita Cawangan Sabah Datin Seri Dr Nuinda Alias berkata pertandingan itu turut menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli selain dapat menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti seni dan budaya.
“Melalui Puspa Voice 2.0 kita ingin memberi peluang kepada peserta mengekspresikan bakat dan keyakinan diri.
“Untuk masa akan datang kita boleh pertimbangkan untuk mewujudkan kategori khas bagi peserta berumur 60 tahun ke atas bagi memberi ruang kepada lebih ramai golongan berusia menonjolkan bakat masing-masing.
“Selain itu saya juga sangat tertarik menyaksikan persembahan sambut tamu daripada Mutiara Dancer, kumpulan tarian dari Sekolah Mutiara yang telah mencipta nama di peringkat kebangsaan.
“Saya harap Puspanita boleh menimbangkan menganjurkan lebih banyak program yang memperkasakan cabang-cabang seni yang lain termasuk seni tarian pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan pusingan akhir pertandingan itu di Palm Square, Centre Point di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Pertandingan itu terbuka kepada semua ahli Puspanita serta orang awam berumur 18 hingga 55 tahun dengan 64 peserta menyertai edisi kali ini yang bermula sejak Julai lalu.
Daripada jumlah itu seramai 11 peserta berjaya mara ke peringkat akhir pada hari sama.
Pada pertandingan akhir itu Keyrolina Peter yang mewakili Puspanita Daerah Tambunan dinobatkan sebagai juara.
Sementara itu Michelle Kasianus dari Puspanita Penampang dan Nursyifa Zahirah Mohd Eirwan dari Puspanita Cawangan Sabah berada di tempat kedua dan ketiga, masing-masing.
Michelle turut memenangi kategori persembahan terbaik sementara Naina Nasib dari Puspanita Sandakan merangkul gelaran Finalis Popular.
Turut bertanding pada peringkat final itu adalah Dewi Mahanih Madlan, Ain Fariesha Azamain, Nur Shahirah Jamaludin, Jacklyn Liew Yun Len, Fitrisha Feerid, Nuralaleya Farishah Ngariman dan Emelia EmaranHadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Norlijah Danin serta Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kebudayaan Puspanitan Cawangan Sabah Datin Noraisah Abdillah.
