Puspakom Langkawi beroperasi di Kuah mulai 1 Jun

26 May 2025 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Puspakom Langkawi yang beroperasi di Kompleks Kilim sebagai tapak pemeriksaan sementara akan ditutup dan berpindah ke lokasi baharu di Kuah bermula 30 Mei ini.

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Langkawi yang beroperasi di Kompleks Kilim sebagai tapak pemeriksaan sementara akan ditutup dan berpindah ke lokasi baharu di Kuah bermula 30 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, cawangan baharu yang akan beroperasi pada 1 Jun itu mampu memeriksa sebanyak 100 kenderaan sehari untuk semua jenis pemeriksaan.

“Cawangan baharu yang terletak di PT2942, Persiaran Bunga Raya Kuah ini menandakan komitmen berterusan Puspakom dalam memperluaskan capaian perkhidmatan di lokasi strategik bagi manfaat pelanggan.

“Pembukaan cawangan itu dijangka akan memudahkan urusan pelanggan persendirian dan komersial di Langkawi untuk menjalani pemeriksaan kenderaan mengikut piawaian keselamatan serta peraturan jalan raya Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, cawangan baharu yang beroperasi dari Ahad hingga Khamis bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang itu menawarkan perkhidmatan seperti pemeriksaan awalan, berkala, tukar hak milik dan sewa beli.

“Dengan kapasiti pemeriksaan sehingga 100 kenderaan sehari, ia dilengkapi kemudahan seperti ruang menunggu berhawa dingin, surau, tandas dan dua lorong pemeriksaan untuk meningkatkan kecekapan operasi.

“Pembinaan cawangan tetap ini merupakan sebahagian daripada kempen #MacamBaharu, iaitu inisiatif transformasi Puspakom menuju ke arah organisasi yang lebih kompetitif, berkualiti dan berintegriti,” ujarnya.

Mahmood berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan pengalaman Puspakom selama lebih 30 tahun dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.

“Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri serta usaha transformasi berterusan ke arah kecemerlangan perkhidmatan, Puspakom yakin akan terus mendahului pasaran meskipun bakal berdepan kemunculan pesaing,” katanya.