Puspakom mulakan operasi sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama Malaysia
syaza
03/09/2024 - 09:05
KUALA LUMPUR 3 Sept - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Puspakom Sdn Bhd, mula beroperasi sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan bermotor pertama negara di bawah mekanisme baharu Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333).
Operasi tersebut berikutan tamat tempoh 30 tahun konsesinya sebagai penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
Peralihan yang berkuat kuasa pada 1 September itu membawa Puspakom ke dalam pasaran yang kompetitif, ia merupakan perubahan daripada peranan eksklusifnya sebelum ini sebagai penyedia pemeriksaan kenderaan.
Dalam satu kenyataan, Puspakom berkata, organisasi itu telah membangunkan pelan masa depan yang komprehensif bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatannya, termasuk peningkatan perkhidmatan pelanggan, pengenalan produk dan perkhidmatan baharu serta penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, penyepaduan AI membenarkan perkhidmatannya menjadi lebih cekap dan boleh mengembalikan masa kepada pelanggannya sambil menyediakan lebih banyak slot pemeriksaan ke pasaran.
Di samping itu, Puspakom telah memulakan program perintis bagi lanjutan waktu operasi di cawangan Glenmarie, Shah Alam.
Di cawangan tersebut, Puspakom mengendalikan dua syif untuk lebih memahami cabaran operasi dan keperluan pelanggan.
Menurut Puspakom, lanjutan waktu operasi akan dilaksanakan di kawasan pasaran utama berikutan kejayaan perintis dan analisis data yang dikumpul.
Fasa perintis di Glenmarie akan berakhir pada 3 Januari 2025.
Mahmood berkata, dengan penggunaan teknologi dan aliran kerja yang lebih baik, Puspakom secara purata, menyelesaikan pemeriksaan kenderann dalam masa 34 minit.
"Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan kepercayaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewakili satu pengiktirafan yang ketara dan Puspakom kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dalam kelasnya walaupun kini rsaig dengan pemain baharu dalam industri pemeriksaan kenderaan,” ujar Mahmood.
Pada Mac 2023, Puspakom tidak akan lagi memonopoli perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor mulai 1 September 2024, berikutan keputusan kerajaan untuk membuka segmen itu kepada syarikat lain yang layak setelah konsesi semasa Puspakom berakhir pada 31 Ogos.- DagangNews.com



