Putera Mateen Dan Dayang Anisha Rasmi Bertunang

9 Jan 2024 • 10:39 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
Putera Mateen dan Dayang Anisha

Anakanda Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah selamat bertunang dengan bakal isterinya, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah binti Adam.

Memetik laporan dari Borneo Bulletin, Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dimulakan dengan rombongan Pengantin Diraja Lelaki menyampaikan hantaran pertunangan dikenali sebagai ‘Tanda Diraja’.

image is not available

Kredit foto: Rafi Rosli (Borneo Bulletin)

Istiadat pertunangan Putera Mateen dan Dayang Anisha berlangsung di Istana Nurul Iman

Difahamkan, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Diraja Sahibul Irshad Pengiran Abdul Rahim mengetuai delegasi Pengantin Diraja Lelaki dan disempurnakan mengikut adat dan tradisi Diraja Brunei.

Yang Amat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan berangkat ke istiadat tersebut yang berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada 9 Januari 2024.

image is not available

Kredit foto: Rafi Rosli (Borneo Bulletin)

Putera Mateen dan Dayang Anisha bakal bernikah pada 11 Januari

Menerusi laporan sebelum ini, Istiadat Perkahwinan Diraja berkenaan bakal berlangsung beberapa hari, dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari 2024 lalu dan diikuti Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari.

Ia diikuti dengan Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja yang berlangsung sebentar tadi sebelum diteruskan lagi dengan Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja pada keesokan hari.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja bakal berlangsung pada 11 Januari dan Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja pula bakal dilangsungkan pada 14 Januari.

Diikuti Majlis Persantapan Diraja 15 Januari dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari 2024.