BACHOK – Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Perhubungan Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap Program Arafah #QuranHour anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di bawah Yayasan Ummah yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 26 Mei ini.
Program yang dianjurkan bersempena hari Arafah itu adalah bagi menghayati perjuangan jemaah haji yang sedang menunaikan rukun Islam kelima.
Setiausaha Kehormat PPIM Kelantan, Ustazah Asma’ Mohd Noor berkata, pihaknya bersyukur apabila sekali lagi diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam program berteraskan al-Quran.
Menurut beliau, penglibatan pelajar dalam program seperti Arafah #QuranHour mampu menyuntik semangat ke arah pembentukan sahsiah positif berlandaskan al-Quran dan al-Hadis.
**media[3527270]**
Katanya, pemilihan Surah Al-Muzammil dan Surah Al-Hajj sebagai tema program amat bertepatan dengan matlamat PPIM untuk melahirkan generasi puteri yang berakhlak, berilmu serta bertakwa.
"Surah Al-Muzammil mendidik pelajar membina hubungan yang kuat dengan ALLAH melalui qiyamullail dan bacaan al-Quran secara tartil selain membentuk kekuatan dalaman, disiplin diri serta istiqamah dalam kehidupan.
"Pelajar yang dekat dengan ALLAH juga lebih tenang, menjaga adab serta mudah menerima nasihat," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurut beliau, seramai 150 ahli PPIM terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah bersama 40 guru pengiring seluruh Kelantan yang kini mengikuti perkhemahan di Pusat Kokurikulum Negeri, Tangok di sini turut menyatakan hasrat untuk menyertai program berkenaan.
Ujarnya, surah Al-Hajj pula memberi pengajaran besar mengenai pengorbanan menerusi kisah Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Saidatina Hajar yang wajar dicontohi golongan muda.
Beliau memberitahu, penghayatan surah itu mampu membentuk sikap sanggup berkorban, tidak mudah berputus asa serta taat kepada ALLAH termasuk meninggalkan perkara lagha, menjaga aurat dan melawan ketagihan telefon demi masa depan ummah.
