
MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Isnin berkata Moscow bersedia membekalkan minyak dan gas kepada pembeli di Eropah sekiranya kerjasama itu dilakukan secara jangka panjang dan bebas daripada tekanan politik terhadap Rusia.
Harga minyak dunia dilaporkan melonjak mendadak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, dengan harga melepasi paras AS$100 setong minggu ini buat kali pertama sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
Dalam satu mesyuarat yang disiarkan di televisyen, Putin berkata Rusia akan terus membekalkan minyak kepada “rakan kongsi yang boleh dipercayai” di Asia serta beberapa negara Kesatuan Eropah termasuk Hungary dan Slovakia.
Menurutnya, Moscow tidak pernah menutup pintu kepada kerjasama tenaga dengan Eropah sekiranya hubungan itu tidak dipengaruhi kepentingan politik.
“Jika syarikat Eropah dan pembeli Eropah bersedia mengatur kerjasama jangka panjang yang mampan serta bebas daripada tekanan politik, tiada masalah. Kami tidak pernah menolak,” katanya.
Rusia Mahu Kerjasama Stabil
Putin turut menegaskan Rusia memerlukan jaminan bahawa sebarang kerjasama tenaga dengan negara Eropah akan kekal stabil dan berterusan.
“Rusia sedia bekerjasama dengan Eropah, tetapi kami perlukan isyarat jelas bahawa mereka benar-benar bersedia serta akan memastikan kestabilan dan kelestarian kerjasama itu,” tambahnya.
Kesatuan Eropah sebelum ini melarang import minyak Rusia melalui laluan laut sejak 2022 susulan konflik di Ukraine.
Pada masa sama, eksport minyak Rusia melalui paip ke Hungary dan Slovakia juga terhenti sejak Januari lalu selepas paip Druzhba yang melalui Ukraine dilaporkan mengalami kerosakan.
Kenyataan Putin itu dibuat beberapa jam selepas Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, menggesa Kesatuan Eropah menangguhkan sekatan terhadap minyak dan gas Rusia bagi mengekang kenaikan harga tenaga yang dipacu konflik di Asia Barat. – The Malaysian Update
The post Putin: Rusia Sedia Bekal Minyak, Gas Kepada Eropah Jika Tiada Tekanan Politik appeared first on The Malaysian Update.

