
MACHANG - Peduli Veteran Madani (PVM) yang baharu diperkenalkan oleh Kementerian Pertahan (Mindef) akan memberi fokus kepada membantu meningkatkan kos sara hidup 29,247 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen dan berada pada paras kemiskinan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program yang melibatkan 12 siri itu telah dilaksanakan dan akan ditambah baik dari masa ke masa walaupun belum dirasmikan.
"Kita sasarkan setiap siri akan melibatkan penyertaan 200 veteran ATM dan untuk tahun ini sahaja sudah tujuh siri dilaksanakan.
"Ia bermula di Kelantan kerana jumlah tertinggi yang melibatkan veteran ATM di kawasan luar bandar adalah di sini dan kebanyakan mereka berpendapatan di bawah RM1,192 paras garis kemiskinan," katanya kepada pemberita semasa menyantuni veteran ATM pada Program Veteran Desa Madani di Kapung Padang, Tamangan di sini pada Ahad.
Dalam kunjungan tersebut, Adly sempat meninjau keadan rumah Hassan Ahmad, 63, yang uzur apabila pernah tenggelam semasa banjir besar pada 2014 serta terdedah dengan air paras 0.5 meter setiap kali musim tengkujuh kerana kedudukannya berhampiran Sungai Kelantan.
Menurut Adly, setakat ini terdapat 231,000 veteran ATM di seluruh negara yang berdaftar dan 19,000 daripadanya adalah berada di Kelantan.
Ujarnya, Mindef akan terus berusaha membela nasib golongan veteran bagi menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh mereka semasa berkhidmat sebelum ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
