(ADJUST GAMBO DULU) Segalanya bermula dan berakhir dengan ibu anda: KJ

Digital
30 Oct 2019 • 12:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Perkongsian gambar bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berjaya menamatkan perlumbaan Ironman 70.3 di Pulau Langkawi, Kedah menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Paling manis, beliau turut memuat naik gambar di laman Instagram miliknya berkongsi kejayaan itu dengan ibunya sendiri iaitu Datin Seri Rahmah Abdul Hamid yang mengalungkan pingat sejurus menamatkan perlumbaan dengan jarak 113 kilometer (km).

Dalam hantaran gambar tersebut, Ahli Parlimen itu juga turut berterima kasih kepada penganjur kerana membenarkan ibunya sendiri mengalungkan pingat di garisan penamat.

"Segalanya bermula dan berakhir dengan ibu anda,” tulisnya.

Terkenal panggilan ‘Abah’, Khairy berjaya menamatkan sukan triatlon antarabangsa itu dengan berenang sejauh 1.9km, kemudian berbasikal 90km dan larian 21km.

Perkongsian gambar tersebut kini tular di media sosial tersebut yang meraih 45,500 tanda suka dan ramai yang mengucapkan tahniah kepada Khairy atas kejayaannya menamatkan perlumbaan Ironman.

"Tahniah YB (Yang Berhormat) Khairy atas kejayaan anda di perlumbaan Ironman. Bukan calang-calang pertandingan itu kerana bukan semua orang berjaya menamatkan perlumbaan terbabit," kata Dina Ahmad di Instagram.

Tidak kurang juga, beberapa netizen turut membandingkan pencapaian dan penampilan Khairy yang aktif bersukan itu dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Munir Rashid menulis, "Khairy lebih layak pegang KBS (Kementerian Belia dan Sukan) berbanding Syed Saddiq. Ini baharu contoh kepada anak-anak muda untuk bersukan. Ini tidak asyik fokus ke permainan video sahaja. Apa cerita?"

"Menteri Belia dan Sukan sekarang ni mana..mana itu Syed Saddiq? Dia patutnya sertailah juga, bagi keluar peluh 'jantan' tu," kata Daniel Rahim.


View Original Article