Qari Malaysia, Qariah Maghribi juara Tilawah Antarabangsa ke-63

25 Aug 2023 • 8:37 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

KUALA LUMPUR: Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Bin Sarimi muncul juara bagi kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 dengan catatan markah 94.96%.

Tempat ke-2 pula dimenangi Alireza Bizhaniavval dari Iran yang memperoleh 93.30% manakala Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah dari Brunei Darussalam di tempat ke-3 dengan 90.38%.

image is not available
Sara Belmamoun, Qariah dari Maghribi

Bagi kategori qariah, peserta Maghribi Sara Belmamoun muncul johan dengan markah 93.05%, tempat ke-2 Raudhah Supian Noor dari Indonesia dengan 92.21% manakala peserta Filipina Sabaha Pato Salik di tempat ke-3 dengan 91.50%.

image is not available
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan mengurniakan hadiah kepada johan Tilawah Al-Quran wanita Sara Belmamoun dari Maghribi pada Majlis Perasmian Penutupan Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Bagi kategori hafazan lelaki, Omar Toure dari Guinea muncul johan dengan markah 98.63% diikuti Maamon Ahmed Raweh Mohammed dari Yaman dengan 97.38% dan tempat ke-3 Ali Attia dari Chad (97.07%).

Peserta Algeria Tebani Cheyma Enfal pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.32%, tempat ke-2 Ndeye Seynabou Ngom dari Senegal (95.25%) dan ke-3 Sidi El Moctar Khadijetou dari Mauritania (94.19%).

image is not available

Muhammad Qayyim yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir, berkata beliau bersyukur kerana usahanya selama 16 tahun mendalami dan mempelajari skil bacaan Al-Quran menggunakan naskhah Braille membuahkan hasil pada MTHQA kali ini.

“Perasaan saya gembira ada, sebak ada… bagi saya, kita kena ada minat dalam bidang tarannum, saya sarankan untuk kita semua belajar tarannum sebab ia boleh buat kita rasa seronok dan kita boleh bawa bacaan dalam solat“, katanya kepada pemberita.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ayah serta keluarga yang sentiasa memberikannya sokongan dan galakan dalam bidang itu.

image is not available

“Pada sesiapa yang ada masalah penglihatan, kita ni kena juga belajar baca Al-Quran kerana dengan Al-Quran ni, cerah masa depan kita“, katanya.

Anak kelahiran Kelantan itu sebelum ini menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M.

image is not available

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.