QE 5.0 bantu 150 firma jimat RM300 juta

TechnologyBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 4:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: QE 5.0 bantu 150 firma jimat RM300 juta

KUALA LUMPUR: Sebanyak 150 firma berjaya mencatat anggaran penjimatan keseluruhan RM300 juta menerusi 820 projek percubaan atau Proof of Concept (POC) melalui program Quality Environment 5.0 (QE 5.0).

Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Kamaruzzaman Johari berkata, pencapaian itu membuktikan penggunaan teknologi, data dan kaedah kerja cekap menerusi program QE 5.0 mampu mengurangkan pembaziran kos, masa dan sumber.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan turut meningkatkan pulangan hasil antara 20 hingga 40 peratus dan kecekapan operasi antara 20 hingga 30 peratus.

“Pada masa sama, produktiviti firma meningkat antara 10 hingga 20 peratus, manakala kos operasi berjaya dikurangkan menerusi penyelesaian yang dibangunkan dalam program tersebut.

“Nilai QE 5.0 bukan hanya diukur melalui jumlah penjimatan, sebaliknya turut melibatkan perubahan cara berfikir, bekerja dan budaya organisasi.

“Organisasi perlu melihat teknologi, data, modal insan, proses dan tadbir urus secara bersepadu bagi menghasilkan nilai lebih tinggi serta penggunaan sumber cekap,” katanya sewaktu berucap pada majlis QE 5.0 Showcase 2026, Driving Quality, Sustaining Environment, Advancing Malaysia di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 20 POC terbaik diketengahkan menerusi QE 5.0 Showcase 2026, turut melibatkan penyelesaian terhadap masalah sebenar yang berlaku di tempat kerja.

Katanya, POC yang terbukti berkesan tidak seharusnya terhenti pada tahap pembuktian konsep, sebaliknya perlu diperluas dan diterapkan dalam operasi sebenar.

“Amalan terbaik juga perlu dikongsi dan direplikasi firma lain supaya manfaat penyelesaian produktiviti tidak terhad kepada satu organisasi sahaja.

“Selain itu, QE 5.0 turut menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dengan membantu firma meningkatkan produktiviti, penggunaan teknologi dan operasi lebih mampan.

“MPC akan terus bekerjasama dengan pihak industri untuk menguji idea, mengukur hasil dan memperluas penyelesaian berkesan bagi meningkatkan produktiviti firma, pekerja dan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

The post QE 5.0 bantu 150 firma jimat RM300 juta appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved