PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 14 kes baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) di Malaysia setakat jam 12 tengah hari tadi, yang menjadikan jumlah kes positif di Malaysia meningkat ke 50 kes.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan kes baharu yang direkodkan itu dipercayai melibatkan kontak rapat kepada kes ke-26.
"Setelah 11 hari tiada kes baharu dilaporkan, gelombang kedua bermula 27 Februari lalu.
"Bagi gelombang kedua sehingga hari ini, terdapat sebanyak 28 kes positif Covid-19 (iaitu kes ke-23 sehingga kes ke-50) yang dilaporkan," katanya pada Sidang Media Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Covid-19 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham turut menafikan kes ke-26 merupakan penyebar utama Covid-19.
"Tidak boleh panggilnya sebagai penyebar utama sebab jika di Korea Selatan kes 31 telah menjangkiti lebih daripada seribu pesakit," katanya.
Katanya, berdasarkan siasatan dan pengesanan kontak yang telah dijalankan sehingga kini, terdapat 215 kontak rapat yang telah dikesan.
"Daripada jumlah kontak rapat tersebut, 16 kes dikesan positif, 19 negatif dan 180 masih menunggu keputusan," katanya.

