QL Resources ramal penyasaran subsidi telur mungkin berlaku selepas bahan api - TA Securities
herman
06/06/2024 - 11:47
KUALA LUMPUR 6 Jun - Pihak pengurusan QL Resources Berhad menjangkakan subsidi telur yang dinikmati pengguna Malaysia masih kekal dan hanya akan dilakukan penyasaran selepas bahan api, kata TA Securities.
Menurut firma penyelidikan itu, dalam taklimat yang diberikan, penyasaran subsidi untuk telur berkemungkinan hanya akan berlaku pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY2025).
Walaupun subsidi ayam ditamatkan hujung tahun lalu, namun subsidi dan kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C diteruskan kerajaan sejak ia mula diperkenalkan pada Februari 2022.
"Untuk segmen Penternakan Bersepadu (ILF), subsidi telur masih kekal. Menurut pengurusan, penyasaran subsidi telur berkemungkinan akan berlaku pada 2HFY25 selepas penyasaran subsidi bahan api," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Syarikat pengeluar produk makanan laut, ternakan dan sawit itu memulakan tahun kewangan 2025 pada April 2024 dan berakhir 31 Mac 2025.
Jelas TA Securities, penstabilan harga komoditi global dijangka membolehkan margin segmen ini akan kembali normal pada 1QFY25 dengan permintaan dan harga jualan purata yang relatif stabil.
"Pada FY25, bahagian di Indonesia menyasarkan untuk pulang modal, didorong oleh pemulihan daripada permintaan yang lembap pada FY24 dan peningkatan harga anak ayam berumur sehari (DOC) dan ayam pedaging.
"Walau bagaimanapun, prospek Vietnam kekal mencabar berikutan sentimen pengguna yang lebih lemah," jelasnya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, ke hadapan, QL Resources merancang untuk melepaskan aset-aset kelapa sawit yang masih ada secara berperingkat dan mengalihkan tumpuannya kepada tenaga bersih iaitu biomas dan solar.
Katanya, prospek bagi segmen kelapa sawit dan tenaga bersih (POCE) tetap positif, didorong oleh perniagaan tenaga boleh baharu (RE) dan penyelesaian ESG, yang disokong oleh dasar RE yang memberangsangkan yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.
"QL merancang untuk memberi lebih tumpuan kepada perniagaan EPC RE dan air sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan lestari mereka.
"Pada FY24, kumpulan itu melepaskan satu kilang minyak kelapa sawit (Sabah Mill 2), dengan mendapat keuntungan sebanyak RM12.8 juta pada 4QFY24," jelasnya.
Katanya, selain subsidi telur kekal dan fokus kepada RE, terdapat dua lagi perkara penting ditekankan dalam taklimat analisis QL Resources permintaan segmen pembuatan produk marin (MPM) kekal walaupun kos input lebih rendah.
Menurut TA Securities, selain itu, QL Resources juga berhasrat membuka 60-90 lagi kedai Family Mart dalam FY25.
"Secara keseluruhan, kami mempunyai pandangan positif terhadap kumpulan ini disebabkan oleh prestasi kukuhnya dalam segmen MPM, jangkaan permintaan stabil dan margin yang meningkat dalam FY25.
"Ini disokong dengan peralihan strategik ke arah tenaga bersih, menjadikan kumpulan ini lebih disenangi. Dengan itu, kami menegaskan Beli dengan TP DCF yang tidak berubah sebanyak RM7.40/saham (k: 6.4%; g: 3.5%)," ujarnya. -DagangNews.com


