QL Resources rancang pelarasan harga, tetap fokus baharu disebabkan kesan penarikan subsidi telur

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2025 • 3:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

QL Resources rancang pelarasan harga, tetap fokus baharu disebabkan kesan penarikan subsidi telur

image is not available

28/08/2025 - 15:46

CHIA Song Kun (dua dari kanan) bergambar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-28 QL Resources dengan Pengarah Eksekutif, Chia Lik Khai (kiri) serta Chia Song Kooi (dua dari kiri) dan Kang Boon Beng (kanan) di Shah Alam hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Penarikan subsidi telur ayam sebanyak 10 sen oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memang memberi impak langsung kepada struktur kos QL Resources Berhad.


Bagaimanapun, menurut Pengerusi Eksekutifnya, Dr Chia Song Kun, syarikat berkenaan yakin pelarasan harga secara berperingkat mampu mengekalkan margin keuntungan kumpulan itu dalam jangka panjang.


Syarikat itu telah memindahkan sebahagian kos kepada pengguna dengan menaikkan harga sebanyak 5 sen, yang diterima baik oleh pasaran, dan menyasarkan kenaikan sehingga 7 sen dalam masa terdekat.


Langkah itu kata beliau, sebagai sebahagian daripada pelarasan strategik selepas penghapusan keseluruhan subsidi tersebut dan mengakui pelarasan penuh sebanyak 10 sen adalah mencabar kepada syarikat.


"Peningkatan secara berperingkat ini dijangka cukup untuk mengimbangi kos tambahan dan masih memberi kesan positif kepada prestasi kewangan berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar.


Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ke-28 QL Resources yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Chia Soong Koi dan Ketua Pegawai Kewangannya, Kang Boon Beng.


Syarikat itu merekodkan pendapatan RM1.72 bilion pada 1QFY26, meningkat 6% berbanding tempoh sama tahun lalu, tetapi keuntungan bersih pula menurun sebanyak 6.4% kepada kira-kira RM100.6 juta.


Mengulas lanjut, Song Kun menambah, pasaran di seluruh negara pada ketika ini dilihat masih anjal kerana produk telur adalah kekal antara pilihan paling mampu milik oleh sebahagian besar rakyat.


"Permintaan ke atas telur dijangka meningkat, didorong pertumbuhan sektor pelancongan dan kadar penggunaan tinggi di hotel serta premis makanan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.


Sementara itu tambah beliau, QL Resources turut memperincikan rancangan pengembangan strategik dalam jangka panjang dengan anggaran perbelanjaan modal (capex) sekitar RM500 juta setahun.


image is not available
CHIA Song Kun (dua dari kanan) pada sidang akhbar dengan Pengarah Eksekutif, Chia Lik Khai (kiri) serta Chia Song Kooi (dua dari kiri) dan Kang Boon Beng (kanan) selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-28 QL Resources di Shah Alam hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


Projek-projek utama termasuk pembelian tanah industri, pelan pembangunan baharu serta pembinaan loji berasaskan tanah, dengan pelaburan RM50 juta hingga RM60 juta setahun bagi pertumbuhan organik.


Dalam tempoh yang sama, syarikat telah melaksanakan pengambilalihan strategik, termasuk 80% kepentingan dalam ladang ayam dan pelaburan RM100 juta menerusi segmen perniagaan tenaga hijau.


"Usaha ini selari dengan agenda peralihan tenaga negara kira dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk tujuan tersebut dianggarkan sekitar RM300 juta sepanjang tahun lalu," kata Song Kun lagi.


Menyentuh segmen penternakan, QL Resources juga telah melabur dalam penambahbaikan kemudahan, pembinaan bangunan bernilai tinggi serta pelaksanaan sistem pendigitalan bernilai jutaan ringgit.


Syarikat katanya, merancang memperluas operasi sehingga tiga kali ganda dan memusatkan kemudahan simpanan dan seterusnya, produk akan diperluas meliputi produk berasaskan tepung, soya dan ayam.


Strategi itu ujar beliau, dijangka memberi nilai tambah dalam menghadapi tekanan pasaran, susulan
pasaran tepung ikan dikesan antara faktor yang mencetuskan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan.


"Ini terutamanya dengan Peru sebagai pengeluar utama dan China pula sebagai pengguna terbesar dunia. Kuota penangkapan serta faktor cuaca turut mempengaruhi harga pasaran ikan global, jelasnya.


Untuk pasaran rantau Asia Tenggara kata Song Kun, QL Resources kini memberi fokus kepada pasaran Indonesia, Malaysia dan Vietnam, dengan populasi besar dan potensi pertumbuhan jangka panjang.


Bagaimanapun kara beliau, kumpulan itu tetap berhati-hati terhadap risiko geopolitik dan persaingan di pasaran seperti Thailand dan Filipina yang penggunanya lebih berbelanja kepada daging ayam.


Sebagai sebahagian penstrukturan semula, syarikat sedang melaksanakan pelupusan aset tenaga serta menjual beberapa asas loji dan tanah yang dijangka memberi hasil positif kepada pemegang saham.


"Langkah ini membolehkan fokus pelaburan kepada sektor lebih strategik dan kekal optimis perkukuh daya saing serta prestasi kewangannya dalam jangka sederhana hingga panjang," kata beliau. - DagangNews.com

standard

View Original Article