Bukan rahsia Intel sedang mengalami era yang sukar dengan pendapatan merosot serta kerugian dicatatkan oleh beberapa perniagaan di bawah payung pengurusan mereka. Antara ura-ura yang didengar ialah, Intel ingin menjual perniagaan faundri bagi mengurangkan kos operasi syarikat dalam masa terdekat.

Menurut laporan Reuters hari ini, Qualcomm telah memulakan pertanyaan untuk membeli perniagaan rekaan cip untuk PC milik Intel. Jika diambil alih, Qualcomm akan meningkatkan portfolio perniagaan dengan mereka tahun ini agresif memasarkan cip Snapdragon X untuk PC Windows on ARM. Kelebihan cip keluaran Qualcomm pada waktu ini ialah pengurangan penggunaan kuasa, hayat bateri yang baik dan sambungan kepada rangkaian selular yang lebih baik berbanding PC X86.
Selain melihat kepada perniagaan rekaan cip PC Intel, Qualcomm juga melakukan pertanyaan untuk beberapa perniagaan lain. Pihak Intel dan Qualcomm enggan memberikan komen mengenai laporan ini.
Impak ke atas Intel sudah mula dilihat di Malaysia dengan pengurangan sehingga 2000 pekerja akan dilakukan di Pulau Pinang tetapi syarikat menegaskan tiada sebarang perubahan pada perancangan mereka buat masa ini, dan Intel turut menekankan yang mana Malaysia merupakan pasaran yang penting buat mereka kerana telah bertapak sejak 1972.
