Kes rasuah Rosmah: Rayyan ugut, ganggu pegawai KPM

19 Feb 2020 • 5:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Saksi keenam pendakwaan, bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pegawainya diganggu seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Jepak Holdings untuk mempercepatkan proses kelulusan projek solar hibrid.

Madinah berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela, Datuk Akbderin Abdul Kadir dalam sesi pemeriksaan balas mengenai individu yang dikenali sebagai 'Rayyan', atau nama penuhnya Rayyan Radzwill Abdullah yang dikaitkan dalam projek ini.

Menurut Madinah, semasa beliau masih berkhidmat sebagai KSU Kementerian Pendidikan antara Jun 2013 dan September 2016, beliau menerima aduan daripada pegawai khasnya bahawa ada seorang lelaki bernama Rayyan mengganggu pegawai-pegawai di bahagian perolehan dan pembangunan KPM.

Rayyan juga mengugut pegawai di kementeriannya berhubung projek solar hibrid berkenaan.

"Rayyan ini juga menurut pegawai saya, dia cakap kasar dan ugut pegawai-pegawai saya jika tak segerakan kerja ini, beliau akan adu kepada Perdana Menteri (PM). Dia (Rayyan) juga 'demand' nak jumpa saya yang ketika itu KSU.

"Jadi pegawai-pegawai saya pun minta bantuan saya jumpa Rayyan kerana mereka tak tahan lagi ugutan dan kata-kata kasar Rayyan," jelasnya kepada mahkamah.

Madinah menjawab soalan Akberdin tentang mengapa beliau melayani mesej individu seperti Rayyan, yang telah menjatuhkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggunakan nama Najib dan isterinya, Datin Rosmah Mansor berhubung projek berkenaan.

Menurut Madinah, walau pun Rayyan mengugut pegawainya, namun lelaki itu tidak pernah mengugutnya dan bercakap kasar malah menghormatinya sebagai KSU ketika itu.

Beliau berkata, Rayyan sering menghantar mesej WhatsApp ke telefon bimbitnya bagi mengetahui status projek berkenaan.

Perbicaraan yang masuk hari kesembilan di hadapan Hakim Mohamad Zaini Mazlan bersambung esok.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved