Nabi pun kategori dan lain-lain?

Opinion
1 Oct 2019 • 7:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KALAULAH anda ingin mengkategorikan Nabi Muhammad SAW mengikut kategori Melayu, Cina, India dan lain-lain, di mana kategori anda akan letak baginda kalau anda ingin daftarkan Nabi sebagai rakyat Malaysia?

Sudah tentu anda tidak akan letak Nabi Muhammad SAW di bawah kategori Cina atau India. Tetapi adakah anda akan letak bawah kategori Melayu? Bukankah Perlembagaan Persekutuan telah mentakrifkan Melayu itu semestinya beragama Islam?

Logik mantiknya ialah seperti berikut: "Nabi SAW beragama Islam. Melayu beragama Islam. Maka Nabi adalah Melayu?"

Logik ini salah kerana berdasarkan formula berikut: X (Nabi) adalah Y (beragama Islam), Z (Melayu) adalah Y. Maka X adalah Z.

Sekarang cuba andaikan pula X merujuk kepada epal. Y merujuk kepada buah. Z merujuk kepada durian. Maka, olahannya menjadi berikut: Epal (X) adalah buah (Y). Durian (Z) adalah buah (Y). Maka, epal (X) adalah durian (Z).Logik mantik ini jelas salah kerana epal bukan durian walaupun kedua-dua adalah buah. Demikian juga Nabi bukan Melayu walaupun kedua-kedua adalah beragama Islam. Manusia bukan monyet walaupun kedua-dua mempunyai hidung!

Tetapi masalahnya di bawah kategori mana kamu akan daftarkan Nabi SAW sebagai 'rakyat' Malaysia? Nampaknya anda tiada pilihan kecuali mengkategorikan Nabi SAW sebagai 'dan lain-lain'! Bahkan anda juga akan letakkan Imam Mahdi dan Nabi Isa AS bawah kategori 'dan lain-lain' bila kedua-dua personaliti ini muncul kelak pada zaman Al-Masih Dajjal!

Sangat bermakna bila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menarik perhatian kepada masalah pendidikan orang asli. Kita hairan mengapa isu pendidikan orang asli selama ini sejak merdeka dipinggirkan. Kita begitu obses dengan isu pendidikan Cina dan pendidikan Islam.

Penyokong pendidikan Cina dikritik kerana dikatakan rasis. Takkanlah tiga muka surat jawi pun enggan nak belajar. Iman rapuh, mudah tergugat?

Penyokong pendidikan Islam pula dikritik kerana dikatakan juga bersifat rasis. Kalau Melayu boleh wujudkan pondok agama, mengapa tidak Cina wujudkan sekolah Cina bersukatan sendiri? Sekarang kaum India pula bersuara.

Ketiga-tiga pihak ini (Melayu, Cina, India) adalah umpama Clash of the Titans! Mungkinkah salah satu punca masalah ini ialah kategori Melayu, Cina, India dan lain-lain yang sebenarnya menjadikan minda obses dengan pembahagian pendidikan kepada tiga kategori.

Dr Maszlee mencabar paradigma tiga kategori besar ini dengan seolah-olah melontarkan persoalan, "Hei kamu! Kamu bising pasal sekolah agamalah, sekolah Cinalah, sekolah Indialah, mari kita fikir pula tentang 'sekolah untuk dan lain-lain' pula!"

Orang asli adalah antara mereka yang dalam kategori 'dan lain-lain'. Maslahat merekalah yang sebenarnya paling layak untuk dijaga sebenarnya. Kalau nak guna istilah Marxist, Melayu-Cina-India adalah satu kategori yang dipanggil kapitalis dan kategori 'dan lain-lain' adalah satu lagi kategori yang dipanggil proletariat atau mustad'afin (golongan yang lemah).

Maka paradigma kita sekarang beranjak daripada penjajahan kapitalis iaitu kelas Melayu-Cina-India kepada kepedulian terhadap mustad'afin iaitu kelas 'dan lain-lain'.

Maka, Dr Maszlee mempersoalkan tentang isu pendidikan 'The Marginalized' seperti orang asli. Apakah adil untuk mengandaikan budaya pembelajaran orang asli sama dengan budaya pembelajaran kapitalis Melayu-Cina-India?

Sejauh manakah kita telah membuat penyelidikan serius terhadap budaya pembelajaran orang asli? Adakah buku-buku teks yang ada membantu pelajar orang asli?

Yang penting, adakah chauvinisme Melayu-Cina-India seperti' Chauvinisme White Supremacy' di Amerika Syarikat yang telah meminggirkan hak orang asli di sana? Dr Maszlee telah membuat satu komiti khas untuk memahami keperluan orang asli dalam pendidikan. Mengapa begitu ramai orang asli yang tercicir? Dr Maszlee memperuntukkan RM 1 juta kepada IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan untuk membuat penyelidikan khas tentang keperluan orang asli.

Laluan khas kepada orang asli untuk belajar di universiti yang diusahakan oleh Dr Maszlee semakin nampak natijah anjakan paradigma yang efektif. Mungkinkah satu hari kelak akan lahir failasuf, mufti, menteri dan bahkan Perdana Menteri yang datang daripada kategori 'dan lain-lain'? Nabi pun kategori 'dan lain-lain!*Abdul Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis di UIAM

Tetapi masalahnya di bawah kategori mana kamu akan daftarkan Nabi SAW sebagai 'rakyat' Malaysia?

*Abdul Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis di UIAM


View Original Article