Rabies Makin Membimbangkan Di Sarawak, 11 Kes Baharu Dicatat Mac Ini

29 Mar 2025 • 3:51 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

11 kes baharu ini dikesan di kawasan Kuching, Padawan, dan Bau

Rabies Makin Membimbangkan Di Sarawak, 11 Kes Baharu Dicatat Mac Ini. Dilaporkan, Sarawak sekali lagi mencatatkan peningkatan kes rabies apabila 11 kes baharu dikesan bulan ini, melibatkan gigitan anjing terbiar dan peliharaan yang berkeliaran di kawasan Kuching, Padawan, dan Bau.

Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, lokasi yang terjejas termasuk Kampung Sejijak, Batu Kawa, Kampung Surih Stapok, Kilang MJC Batu Kawa, Jalan Stephen Yong, Jalan Penrissen Padawan, Jalan Sebuku Buso, Pekan Paku Bau, Jalan Bau Lama, Kampung Nyabut Trombol, Taman Hillside Matang, dan Taman Desa Sejijak.

image is not available
Rabies Makin Membimbangkan Di Sarawak, 11 Kes Baharu Dicatat Mac Ini. Sumber gambar: Jeevoka

Vaksinasi wajib untuk haiwan peliharaan

Susulan kes ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah mewajibkan pemilik haiwan peliharaan dalam radius 1 kilometer daripada kawasan yang terjejas untuk segera memberikan vaksin rabies kepada haiwan mereka.

“Pemilik yang gagal mematuhi peraturan vaksinasi boleh dikenakan denda sehingga RM2,500 di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 (VPHO 1999),” katanya dalam kenyataan rasmi.

image is not available
Sumber gambar: fearfreehappyhomes

Program Vaksinasi Percuma di Kuching

Bagi membendung penyebaran rabies, DVSS akan mengadakan program vaksinasi rabies percuma, termasuk pelesenan anjing dan penanaman mikrocip di dua lokasi:

Dewan Masyarakat, Jalan Padungan – 12 April
Balai Raya Desa Wira – 26 April
8.30 pagi hingga 4.30 petang

Selain itu, pemilik haiwan peliharaan juga diwajibkan memohon lesen anjing dan menanam mikrocip melalui majlis tempatan masing-masing. Mereka yang gagal boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 di bawah Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018. Manakala, membuang haiwan peliharaan juga merupakan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM2,000 di bawah Seksyen 73 VPHO 1999.

image is not available
Gambar sekadar hiasan

Rabies ragut 76 kematian dari 83 kes

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia sejak Julai 2017 kekal sebanyak 83 kes, dengan 76 kematian. Bagaimanapun, tiada kematian dicatatkan setakat tahun ini.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan kontak dengan anjing terbiar, segera mendapatkan rawatan jika digigit, dan memastikan haiwan peliharaan mereka divaksinasi bagi membendung wabak ini.

Lagi berita terkini untuk anda di sini: