RAC tetapkan sewa RM1 sebulan bagi rumah ibadat, sekolah bantuan modal – Loke

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 5:32 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: RAC tetapkan sewa RM1 sebulan bagi rumah ibadat, sekolah bantuan modal – Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan kadar sewaan khas RM1 sebulan bagi rumah ibadat dan sekolah bantuan modal di tanah rizab RAC.

KUALA LUMPUR: Kadar sewaan khas bagi rumah ibadat dan sekolah bantuan modal yang menduduki tanah rizab di bawah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) ditetapkan pada RM1 sebulan, berkuat kuasa 1 Okt, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata penyeragaman itu menggantikan kadar sewaan berbeza sebelum ini, sekali gus memberi manfaat kepada 53 penyewa sedia ada membabitkan 49 rumah ibadat dan empat sekolah bantuan modal.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) RAC memandangkan rumah ibadat dan sekolah berkenaan bukan institusi yang tidak berorientasikan keuntungan.

“Dulu tiada dasar yang jelas, ataupun dikenakan kadar nominal, tidak mengikut kadar pasaran, ada yang dikenakan RM100, ada RM150. Jadi, sekarang ini kami selaraskan untuk kategori ini sahaja, iaitu rumah ibadat dan juga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Makluman Bayaran Kadar Khas bagi Rumah Ibadat dan Sekolah Bantuan Modal di Menara RAC di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri M. Jana Santhiran.

Loke berkata rasional penetapan kadar RM1 berbanding pemberian secara percuma bertujuan memastikan rumah ibadat dan sekolah terbabit kekal sebagai penyewa yang sah di sisi undang-undang, sekali gus memberikan perlindungan dan kepastian kepada mereka.

Loke bagaimanapun berkata kadar khas berkenaan tidak terpakai kepada penyewa tanah RAC bagi aktiviti komersial atau perniagaan seperti bengkel kenderaan, yang kekal dikenakan kadar sewaan komersial.

Mengulas terma perjanjian, Loke memaklumkan tempoh sewaan ditetapkan selama tiga tahun dengan pilihan lanjutan dua kali bagi tempoh tiga tahun setiap satu (3+3+3), sekali gus membolehkan kadar RM1 sebulan dinikmati sehingga maksimum sembilan tahun.

Beliau berkata sebelum ini penyewa perlu membuat permohonan semula setiap tiga tahun, namun menerusi ketetapan baharu itu mereka tidak lagi perlu berbuat demikian sepanjang tempoh sembilan tahun berkenaan dan hanya perlu menandatangani perjanjian baharu setiap tiga tahun.

“Jadi, untuk sembilan tahun mereka tidak perlu memohon semula. Kalau tiada apa-apa berlaku dan tanah itu tidak diperlukan untuk dikembalikan kepada kerajaan, mereka boleh terus berada di situ dan membayar kadar nominal,” katanya.

Loke bagaimanapun mengingatkan status tanah berkenaan kekal sebagai rizab kereta api dan tertakluk kepada serahan balik sekiranya diperlukan kerajaan untuk tujuan pembangunan strategik, seperti pembinaan  penambahan landasan.

Dalam pada itu, Jana Santhiran yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RAC berkata keputusan itu dibuat selepas RAC meneliti masalah yang dibangkitkan pengurusan rumah ibadat dan sekolah bantuan modal sejak dua hingga tiga tahun lepas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved