‘Race Day’ Bakal Tampil Gabungan Jenama Neonate Dan SVG Worldwide

Women's Fashion
19 Aug 2023 • 3:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Semua model terpilih telah menghadiri Kem Latihan Model kelolaan Tinie pada Julai lalu

Sudahkah anda membuat keputusan ke mana hendak pergi hujung minggu ini? Apa kata anda rancang perjalanan menuju ke pertunjukan fesyen ‘Race Day’ sempena acara Street Glare 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Pertunjukan ini merupakan kolaborasi pertama dan pertunjukan sulung yang menggabungkan dua jenama iaitu Neonate dan SVG Worldwide.

Kedua-dua jenama telah mula menumpukan perhatian kepada pakaian jenis streetwear terkemuka Malaysia dan dikatakan bakal menggemparkan industri fesyen tempatan. Bukan itu sahaja, jenama tersebut turut mengumumkan penglibatan mereka dalam acara fesyen paling berprestij di Malaysia, Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23) yang berlangsung bulan ini.

 Acara di Street Glare 2023 ini menjadi pendedahan awal kepada jenama ini memandangkan ia diadakan sebelum KLFW23 bermula pada 21 Ogos. Pertunjukkan ini bakal dibarisi  77 orang model berbakat baharu yang akan memperagakan produk gabungan ini.

 “Panggilan terbuka bertujuan mencari model baharu  telah menarik bilangan peserta yang mengagumkan. Lebih daripada 700 muka-muka baharu dari seluruh negara hadir ke sesi dua hari panggilan terbuka kami,” jelas Karl Shafek yang merupakan pengasas dan pengarah kreatif Neonate Clothing Company. 

image is not available

Pengasas SVG Worldwide, Ashraf Anuar pula berkata, semua model terpilih telah menghadiri Kem Latihan Model kelolaan Tinie pada Julai lalu. 

“Ia merupakan kursus yang benar-benar intensif dengan jadual padat dan masa yang amat terhad, justeru ia memerlukan komitmen penuh daripada semua model terlibat,” katanya.

Neonate dan SVG juga berterima kasih dan ingin memberi penghargaan kepada Komono Malaysia dan Converse Malaysia atas sokongan mereka dalam menaja pelbagai aksesori seperti cermin mata hitam, jam tangan, dan kasut yang dipakai oleh model-model tersebut. Sokongan jenama ini melengkapkan gaya peribadi mereka semasa penggambaran. 

Untuk memastikan tetamu terhibur sebelum pertunjukan utama bermula, sebuah Karnival Mini turut diadakan di lapangan SIC pada hari acara. 

Ikuti perkembangan serta pengumuman terkini mereka di media sosial melalui @neonate.company dan @svgwrldwide. Baiklah, jumpa di sana! - Getaran, 19 Ogos 2023

View Original Article