Radium, MyCharge EV jalin kerjasama pasang stesen pengecas kenderaan elektrik

Business & Finance
28 Nov 2023 • 5:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Radium, MyCharge EV jalin kerjasama pasang stesen pengecas kenderaan elektrik

diyana

28/11/2023 - 17:59

KUALA LUMPUR 28 Nov - Radium Development Berhad menjalin kerjasama dengan MyCharge EV Sdn Bhd untuk pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di projek pembangunan Radium.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Radium berkata perjanjian kerjasama strategik tersebut telah ditandatangani pada 28 November bagi melaksanakan perancangan, pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan barangan/peralatan, termasuk pengecas EV.

Perjanjian tersebut berkuat kuasa serta merta bagi tempoh dua tahun.

“Ini merupakan visi Radium untuk menggalakkan kelestarian alam sekitar dan perniagaan serta mengikuti trend dan keperluan pasaran dengan pelaksanaan dan pemasangan pengecas EV dalam projek pembangunan sedia ada dan/atau masa hadapan terpilih Radium dengan menggunakan kefahaman meluas MyCharge EV, pengalaman yang diiktiraf dan kepakarannya dalam pengecas EV,” kata syarikat hartanah itu.

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, Radium berkata perjanjian ini tidak akan mempunyai sebarang kesan kewangan kepada prestasi syarikat dan anak-anak syarikatnya sepanjang tempoh perjanjian. - DagangNews.com