Rafflesia tarik pengunjung ke Lata Jarum

8 Oct 2026 • 8:17 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rafflesia tarik pengunjung ke Lata Jarum

RAUB – Keunikan bunga Rafflesia yang hanya mengembang dalam tempoh singkat menjadi tarikan utama apabila lebih 100 peserta menyertai program Moh Jungle Trekking Sambil Menengok Bunga Rafflesia di Pusat Rekreasi Lata Jarum, Ulu Dong, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, pada awalnya pihaknya menyasarkan kira-kira 100 peserta, namun sambutan diterima ternyata melebihi jangkaan.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan sendiri bunga pakma yang dikenali sebagai bunga tunggal terbesar di dunia dalam habitat semula jadinya di Hutan Simpan Gunung Benom.

“Program hari ini (semalam) adalah dua dalam satu iaitu jungle tracking dan pada masa sama melihat keunikan bunga Rafflesia yang cukup unik,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, Pahang mempunyai tiga lokasi yang diketahui menjadi habitat Rafflesia iaitu Lata Jarum, Ulu Dong, kawasan sekitar Ulu Cheka, Jerantut dan Pulau Tioman.

Tambahnya, Lata Jarum pula mempunyai keistimewaan tersendiri apabila terdapat empat spesies Rafflesia, antaranya Rafflesia cantleyi dan Rafflesia azlanii.

Fadzli berkata, usaha pemuliharaan turut diperkukuh menerusi pembinaan pelantar pejalan kaki sepanjang kira-kira 100 meter dengan kos hampir RM1 juta bagi mengelakkan pengunjung menyentuh atau memijak akar Rafflesia.

“Akarnya sangat sensitif. Kalau disentuh, ia boleh menyebabkan bunga itu tidak mengembang dan mengambil masa untuk pulih. Jadi, pelantar ini dibina supaya pengunjung dapat melihatnya dengan lebih dekat tanpa menjejaskan habitat,”katanya.

Menurutnya, laluan ‘jungle trekking’ yang digunakan peserta untuk melihat bunga berkenaan pula sejauh kira-kira lima kilometer pergi dan balik, selain melalui beberapa anak sungai. – KOSMO! ONLINE

The post Rafflesia tarik pengunjung ke Lata Jarum appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved