Rafftech sasarkan RM60 juta hasil dari e-Info SSM tahun ini

22/05/2025 - 12:15
Gambar/FB SSM e Info
KUALA LUMPUR 22 Mei - Pembekal perkhidmatan rasmi portal e-Info Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Raffcomm Technologies Sdn Bhd, menyasarkan hasil RM60 juta daripada platform tersebut menjelang akhir tahun ini.
Portal e-Info SSM yang dikendalikan syarikat itu, membolehkan orang ramai mengakses maklumat syarikat secara dalam talian termasuk profil syarikat, profil perniagaan, perbandingan kewangan, serta pelbagai sijil berkaitan.
Ketua Pegawai Perniagaan Rafftech, Rozaina Shafie berkata, syarikat mencatat pertumbuhan kukuh sejak melancarkan portal tersebut pada tahun 2006.
"Pada tahun 2008, hasil kami hanya sekitar RM200,000, tetapi tahun lalu kami berjaya menjana RM36 juta.
"Sepanjang 19 tahun ini, kami mencapai perkembangan besar. Sasaran semasa ini juga adalah hasil perbincangan bersama SSM," katanya kepada pemberita seperti laporan The Sun.
Beliau berkata demikian sempena pelancaran program ganjaran dan aplikasi mudah alih SSM e-Info versi 3.0, semalam.
Rozaina turut memaklumkan, pengguna boleh mencari maklumat syarikat secara percuma melalui enjin carian aplikasi, tetapi laporan terperinci memerlukan bayaran, selaras dengan model perkhidmatan yang telah diluluskan oleh SSM.
Pengerusi Eksekutif Rafftech, Datuk Md Afendi Hamdan pula berkata, e-Info SSM menjadi platform utama untuk orang awam dan perniagaan mengakses maklumat syarikat berdaftar di Malaysia.
"Inisiatif ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh perkhidmatan digital kepada orang awam dan komuniti perniagaan negara," jelasnya.
Dalam kenyataan berasingan, Rafftech menyifatkan aplikasi mudah alih SSM e-Info sebagai alat penting untuk mengakses maklumat korporat yang didaftarkan secara rasmi dengan SSM.
"Aplikasi ini direka khusus untuk memenuhi keperluan profesional perniagaan, pelabur dan pasukan undang-undang yang memerlukan data syarikat secara masa nyata.
"Ia boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store," kata syarikat itu.
Rafftech berkata, SSM e-Info adalah satu-satunya platform yang menyediakan salinan dokumen yang disahkan secara digital melalui sistem dalaman mereka yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi memastikan dokumen yang dibeli adalah asli dan tulen. - DagangNews.com
standard

