Rafizi, Nik Nazmi: Keahlian PKR Digugurkan  – Dr Fuziah

LocalPolitics
17 May 2026 • 7:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Rafizi, Nik Nazmi: Keahlian PKR Digugurkan  – Dr Fuziah

KUALA LUMPUR - Keahlian dua Ahli Parlimen PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Mat digugurkan selepas keduanya mengisytiharkan hasrat untuk mengosongkan kerusi Parlimen serta meninggalkan parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Fasal 9(1)(c) Perlembagaan parti, selepas mengambil maklum kenyataan bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden itu. 

Menurut beliau, PKR telah menerima rakaman ucapan Datuk Seri Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa) yang mengumumkan keputusan mereka untuk mengosongkan kerusi Parlimen serta meninggalkan parti pada hari ini.

“Pengisytiharan tersebut adalah selaras dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. 

Jelas Fuziah, peruntukan terbabit menetapkan kerusi seorang Ahli Dewan Rakyat akan dikosongkan sekiranya wakil rakyat berkenaan tidak lagi menjadi ahli parti politik di bawah tiket yang digunakannya ketika dipilih ke Parlimen.

Sehubungan itu, Fuziah berkata, PKR akan merujuk status kedua-dua Ahli Parlimen tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bagi menentukan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, PKR akan meneliti keahlian Ahli Parlimen lain yang hadir pada pengumuman parti baharu disertai Rafizi dan Nik Nazmi. dalam program sama.

Terdahulu, dalam satu majlis di Petaling Jaya, kedua-dua mereka mengesahkan pengambilalihan sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (MUP), yang akan diterajui secara bersama.

Majlis simbolik penyerahan parti itu turut disertai beberapa Ahli Parlimen PKR lain, termasuk Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Rafizi dan Nik Nazmi turut mengumumkan bahawa mereka akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok.

Keduanya difahamkan akan menghantar surat rasmi kepada PKR pada Selasa bagi memaklumkan keputusan meninggalkan parti. - Getaran, 17 Mei 2026