
KUALA LUMPUR - Kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan dikosongkan berkuat kuasa esok.
Kedua-dua Ahli Parlimen terlibat, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu, notis pengosongan akan diserahkan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, esok.
Serentak dengan itu, keduanya mengumumkan keputusan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada Selasa depan.
Getaran difahamkan, keduanya dijangka menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh, bagi memaklumkan keputusan untuk keluar daripada parti berkenaan.
Terdahulu dalam sidang media yang diadakan di Petaling Jaya, kedua-dua mereka mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik yang dikenali sebagai MUP.
Turut kelihatan hadir pada majlis berkenaan ialah beberapa Ahli Parlimen PKR lain, antaranya Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Susulan perkembangan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh dipetik Berita Harian sebagai berkata, parti berkenaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung kedudukan Rafizi, Nik Nazmi serta beberapa lagi wakil rakyat PKR yang hadir pada majlis pengambilalihan MUP.
“Selepas sekian lama melakukan serangan berterusan terhadap parti, Rafizi akhirnya mengumumkan bahawa beliau mengambil alih parti baharu tersebut.
“PKR akan membuat keputusan dalam masa terdekat dan turut akan membincangkan status Ahli Parlimen kami yang hadir pada acara itu,” katanya. - Getaran, 17 Mei 2026




