Rafizi, Nik Nazmi umum tinggalkan PKR, kosongkan kerusi Parlimen

LocalPolitics
17 May 2026 • 6:33 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad umum keluar PKR dan kosongkan kerusi Parlimen.

Bekas Timbalan Presiden Rafizi Ramli, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa Isnin, 18 Mei 2026.

Pengumuman itu dibuat dalam Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik yang berlangsung pada Ahad, sekali gus mengesahkan penyertaan mereka ke dalam Parti Bersama Malaysia (Bersama), sebuah parti politik yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang.

Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin, manakala surat rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pula akan dihantar pada Selasa.

Menurut beliau, langkah itu diambil bagi menghormati mandat rakyat yang dimenangi atas tiket PKR dan Pakatan Harapan (PH), selain mengelakkan tindakan mereka dilihat sebagai lompat parti.

Baca juga:

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan beliau bersama Nik Nazmi kini memikul tanggungjawab menyediakan platform politik baharu kepada wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mahu mempertimbangkan hala tuju politik masing-masing.

Rafizi berkata Akta Anti Lompat Parti menjadi cabaran utama kepada wakil rakyat untuk membuat keputusan politik, justeru beliau dan Nik Nazmi mengambil langkah menubuhkan platform baharu terlebih dahulu.

Rafizi berkata beliau dan rakan-rakan hanya berusaha membawa idealisme perjuangan politik untuk diwariskan kepada generasi muda, khususnya golongan milenial dan Gen Z menerusi Bersama.

The post Rafizi, Nik Nazmi umum tinggalkan PKR, kosongkan kerusi Parlimen appeared first on The Reporter.