Jika anda mengikuti berita teknologi pengeluaran tempatan, anda pasti tahu bahawa Malaysia merupakan salah satu daripada beberapa negara di dunia yang penting dalam sektor pengeluaran, pembungkusan dan pengujian cip semikonduktor.
Syarikat-syarikat global seperti Intel, AMD, Texas Instruments, Micron dan sebagainya mempunyai kilang tempatan, dan syarikat-syarikat tempatan seperti Inari Amertron Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd dan sebagainya bertanggungjawab untuk menguji dan membungkus cip-cip semikonduktor ini.
Bercakap di acara Forum Ekonomi Malaysia 2025, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengatakan bahawa beliau berharap bahawa industri semikonduktor Malaysia akan cukup matang untuk mula menghasilkan cip semikonduktor, khususnya komponen CPU (cip pemprosesan komputer) dan GPU )cip pemprosesan grafik) kita sendiri dalam masa lima ke sepuluh tahun akan datang.

Beliau mempercayai bahawa Malaysia akan mempunyai kepakaran yang mencukupi bukan sahaja untuk menghasilkan cip-cip sebegini untuk syarikat-syarikat besar seperti Intel dan AMD, tetapi juga mengeluarkan produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat semikonduktor tempatan, dan mencipta arus pendapatan baru yang lumayan untuk negara ini.
Komponen-komponen sebegini dilihat lumayan untuk negara pengeluar kerana permintaan untuknya dilihat semakin tinggi setiap tahun, khususnya dengan peningkatan dari segi cip sebegini untuk tujuan AI, industri automotif, perkomputeran dan lain-lain, termasuklah IoT (Internet of Things).
Malaysia kini sudahpun dilihat sebagai sebuah negara penting untuk tujuan pembungkusan dan ujian cip semikonduktor, jadi dengan penambahan sebagai pengeluar komponen-komponen ini, Malaysia dilihat boleh menjadi semakin terkenal di mata dunia.
