Rafizi tak gentar terima surat tuntutan dari Farhash, sedia kemuka fakta di mahkamah

LocalPolitics
25 Aug 2025 • 6:49 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan beliau menerima surat tuntutan daripada Datuk Wira Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kenyataannya yang mengaitkan bekas pembantu Perdana Menteri itu dengan satu urus niaga syarikat.

image is not available

Terima surat tuntutan daripada Farhash

Memetik hantaran beliau di media sosial, Rafizi menyatakan bahawa tuntutan tersebut memintanya untuk membuat permohonan maaf berkaitan kenyataan yang pernah dikeluarkan.

“Saya mengesahkan telah menerima satu surat dari Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Datuk Wira Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 22 Ogos 2025.
“Surat cease dan desist itu membuat tuntutan supaya saya berhenti mengeluarkan kenyataan dan meminta maaf, berhubung satu kenyataan saya yang mengesahkan pemberi maklumat adalah berkaitan urusniaga syarikat yang berkaitan beliau,” katanya.

image is not available

Surat tuntutan langsung tak buat Rafizi gentar

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan beliau tidak gentar, malah bersedia mempertahankan kenyataannya yang didakwa berasaskan fakta.

Rafizi turut melantik firma guaman Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri untuk menguruskan kes tersebut.

“Saya berpandangan sekiranya Datuk Wira Farhash memfailkan saman di mahkamah kelak, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan peguam-peguam saya berpeluang menanyakan soalan-soalan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak selama ini,” ujarnya.

image is not available

Difahamkan, kontroversi ini tercetus selepas Rafizi mendedahkan pemberi maklumat yang ditemuinya hanya beberapa hari sebelum anak lelakinya berusia 12 tahun diserang pada 13 Ogos lalu.

image is not available

Dalam sidang media yang dibuat oleh Rafizi, beliau telah menolak cubaan mengaitkan insiden itu dengan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang disifatkan sebagai “cubaan jahat untuk mengalih perhatian”.

Namun begitu, Farhash dengan tegas menafikan sebarang kaitan dengan serangan terhadap anak Rafizi.

Sumber: Facebook Rafizi Ramli