
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek seolah-olah tidak memahami bahawa isu buli di sekolah adalah sangat rumit dan tidak boleh diambil mudah.
Menurut Rafizi, beliau beberapa kali membangkitkan isu mengenai buli di sekolah di dalam mesyuarat Jemaah Menteri, ketika menjadi menteri sebelum ini.
Malah beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selalunya sangat bersetuju apabila beliau membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat Kabinet.
“Datuk Seri Anwar selalunya sangat bersetuju dan menyambung bila saya sebut mengenai buli sebab ada persamaan antara cucu-cucunya dan anak saya. Kerana kami ahli politik berprofil tinggi, yang ada sebahagian daripada rakyat Malaysia tak suka dan mereka (anak-anak) tertakluk kepada segala jenis komen.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, sepanjang dalam Kabinet, saya rasa saya antara Menteri berkali kali bawa cerita buli di sekolah.
“Ada beberapa perkara yang memang saya dah sebut berkali-kali jangan ambil mudah termasuklah buli di sekolah. Saya sebut tahun pertama 2023, 2024 tetapi jawapan Fadzlina macam tu lah 'kita semua dah bagus, kita semua dah ada'.
“Cuma saya tak setuju dengan jawapan Menteri kerana seolah-olah Menteri itu tidak faham perkara ini sangat rumit,’’ katanya dalam podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) yang disiarkan menerusi Facebooknya.
Turut serta ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan aktivis pendidikan, Victor Tan.
Rafizi berkata demikian ditanya mengenai isu buli di sekolah yang hangat diperkatakan ketika ini melibatkan kes kematian pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Zara Qairina Mahathir.
Remaja itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Allahyarham disahkan meninggal dunia keesokannya selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Menurut Rafizi, kes kematian Zara Qairina tidak ditangani dengan baik hingga akhirnya ia menjadi spekulasi dalam media sosial.
“Dalam kes Zara, perkara itu tidak ditangani dengan baik, ia sudah menjadi isu yang sangat emosi. Memang la isu buli, kalau ada anak yang meninggal di sekolah, apatah lagi di asrama, ia akan menjadi isu emosi. Satu malaysia ada anak dan sebahagian besar hantar anak ke sekolah kerajaan,’’ katanya.
Rafizi turut memberitahu, isu buli dekat dengan beliau kerana anaknya pernah menjadi mangsa buli sehingga terpaksa bertukar sekolah sebanyak tiga kali akibat diejek.
“Bila saya buat keputusan letak jawatan, ia bukan mudah bagi anak saya. Kawan-kawan dia tanya kenapa? Kami tidak bincang dalam keluarga isu politik. Jadi dia tiada maklumat. Kawan-kawan tanya kenapa ayah dia kena buang.
“Isu buli kalau di sekolah, sangat peribadi kepada isteri dan anak lelaki saya. Anak saya introvert. Saya faham di sekolah, kemahiran untuk kendalikan sesuatu itu rumit. Sebab itu kita boleh tengok perbezaan besar antara guru serta pertadbir berkemahiran dan mengambil serius tentang perkara bersabit buli,'' ujar beliau.
Meskipun sukar namun, Rafizi berkata, ia adalah tanggungjawab di peringkat tertinggi bagi memastikan isu tersebut ditangani sebaik mungkin.
Katanya, ia termasuk dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP), latihan dan tindak balas apabila berlaku kes seperti itu. - 16 Ogos, 2025
The post Rafizi tegur sikap Fadhlina ‘kita semua dah bagus, kita semua dah ada’ appeared first on Scoop.


