KUALA LUMPUR – Lebih ramai individu berhimpun bagi menyuarakan desakan supaya bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berundur daripada politik susulan dakwaan gagal menunaikan janji serta mengelirukan pengundi, khususnya di Pandan.
Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, peningkatan jumlah peserta himpunan kali ini didorong oleh sokongan orang ramai yang mahu suara mereka didengari.
Menurutnya, peserta hadir bagi menyampaikan mesej tegas agar Rafizi tidak lagi mengelirukan rakyat dengan janji-janji yang disifatkan tidak ditunaikan.
“Peserta yang hadir mahu menegaskan bahawa beliau gagal selepas diberi mandat sebagai wakil rakyat dan menteri.
“Mereka juga berpendapat kestabilan negara boleh dicapai tanpa polemik yang didakwa sering dibangkitkan beliau,” katanya ketika ditemui pada himpunan tersebut.
**media[3497046]**
Tambahnya, tidak mustahil lebih ramai rakyat, khususnya pengundi Pandan, akan tampil menyertai demonstrasi sekiranya tuntutan tersebut tidak diendahkan.
Sebelum ini, kira-kira 10 individu mengadakan protes di hadapan pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd dan menyerahkan memorandum bagi menggesa Rafizi berundur daripada dunia politik.
Sementara itu, pengasas PKR, Ng Lum Yong yang turut hadir berkata, kenyataan dikeluarkan Rafizi kebelakangan ini dilihat semakin agresif dan berpotensi mengelirukan rakyat.
Menurutnya, kenyataan tersebut lebih menjurus kepada kepentingan peribadi berbanding kepentingan negara.

