
MENJELANG Hari Raya Aidilfitri, suasana meriah bukan sahaja dirasai di rumah, malah di lokasi-lokasi tumpuan festival jualan yang menjadi medan orang ramai mencari kelengkapan raya.
Dari pakaian tradisional hingga kuih raya, keriangan sambutan dapat dirasai seawal langkah kaki memasuki festival.
Tahun ini, Ragam Raya Fest 2026 kembali memeriahkan musim perayaan dengan penganjuran oleh GoodFellas.
Festival tiga hari itu bakal berlangsung di IOI Grand Exhibition & Convention Centre (IOI City Mall Putrajaya) dari 13 hingga 15 Mac, membawakan pengalaman beli-belah dan hiburan dalam satu lokasi yang selesa dan berhawa dingin.
Lebih daripada 188 vendor menyertai festival ini, menawarkan pelbagai produk termasuk baju raya, tudung, aksesori, kasut, beg tangan, biskut dan kuih raya, barangan kecantikan serta wangian.
Bagi pengunjung awal, terdapat tawaran menarik seperti 100,000 botol BRAND’S Sari Pati Ayam, 1,000 tudung eksklusif MINAZ, serta 1,000 CelcomDigi Simpack yang diagihkan secara percuma.
Sistem digital baucar melalui QR oleh Happie Token turut memudahkan pengunjung menikmati diskaun eksklusif daripada vendor.
Selain tarikan jualan, Ragam Raya Fest 2026 turut memeriahkan suasana dengan persembahan pentas yang melibatkan artis popular tanah air.

Antara persembahan menarik termasuk Malam Madrasah Ramadan oleh Inteam, nyanyian ikonik daripada Ruffedge, serta persembahan artis naungan XO House seperti Iman Troye, Ammar Haikal dan XO Jr.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan Maskot Ketupat Comel, Aurora Acapella, serta dendangan malam penutup oleh Hanefflee dan Amzar. Podcast S.U.A.M yang menampilkan Saharul, Ustaz Hariz, Amar dan Menteri Agama turut menambah kelainan pengalaman festival.
Ryan Deedat dan Ara Aziz bertindak sebagai hos, manakala Papa Ayie dan Yuna Zainal menjadi pempengaruh rasmi festival.
Ragam Raya Fest 2026 turut mendapat sokongan jenama besar sebagai penaja rasmi seperti BRAND’S Essence of Chicken, Minaz, Hotel Moxy Putrajaya, CelcomDigi, Kopilihanku, Zus Originals, Medina Craft Indonesia dan Lightxpert.
Sebelum festival berlangsung, sesi taklimat dan majlis berbuka puasa di Hotel Moxy Putrajaya menjadi platform bagi vendor dan rakan strategik berkongsi input dan menyemai semangat Ramadan dalam suasana penuh kemesraan.
Ragam Raya Fest 2026 membuktikan sambutan hari raya kini bukan sekadar soal persiapan tradisi, tetapi juga pengalaman komuniti dan hiburan yang memberi warna baru kepada perayaan.

