Rahmat Berazam Pastikan Hak Asasi Manusia Terus Terjamin, ‘Beri Saya Masa’…

LocalPolitics
5 Jul 2022 • 2:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Profesor Dr Rahmat Mohamad - Gambar dari Facebook Rahmat Mohamad

KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang baharu, Profesor Dr Rahmat Mohamad memberi jaminan akan memastikan hak asasi manusia terus terjamin di Malaysia.

Bercakap kepada Getaran, Rahmat berkata, pihaknya juga akan memastikan hak asasi manusia di negara ini mengikut acuan tempatan dan bebas daripada tekanan politik.

“Saya baru hendak mula (tetapi terus) dikecam. Jadi itu tidak adillah. Anda perlu beri masa. Amanah saya adalah untuk pastikan hak asasi manusia terjamin di Malaysia.

“Itu adalah satu amanah saya, saya Insya-Allah (akan berusaha ke arah itu). Tetapi berikan saya peluang dahululah,” katanya hari ini.

Beliau berpandangan, hak asasi manusia hari ini mesti dilihat dalam perspektif lebih besar sejajar dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan dijangka berpanjangan.

Jelas beliau, perkara lebih penting ketika ini adalah merangkumi hak asasi untuk hidup (the right to live) dan hak asasi mendapat ekonomi yang baik (right to have a decent economy) untuk rakyat.

“Saya lihat itu sebagai satu perkara yang amat perlu. Sememangnya hak asasi terjamin di bawah Perlembagaan, betul, tetapi adakah itu sahaja sedangkan satu dunia penuh dengan cabaran melibatkan pasca pandemik dan sebagainya?

“Pada saya, perspektif hak asasi itu harus dilihat. Sebab golongan berpendapatan rendah (B40) sedang dalam keadaan amat sukar untuk hidup, jadi hak asasi untuk hidup ini adalah satu yang penting kita ketengahkan dalam keadaan sekarang.

“Kebebasan asasi (fundamental liberties) dinyatakan dalam Perlembagaan, kita pertahankan tetapi ada isu lebih besar daripada itu pada saya,” katanya.

Beliau menambah, elemen hak asasi mestilah melihat kepada keutamaan agama dan adat resam yang betul-betul menggambarkan Malaysia.

Menurutnya, beliau mahu melihat hak asasi manusia itu dari aspek tempatan dan mengambil kira kedudukan semua agama.

“Agama ini semualah, agama Islam, Kristian, Buddha dan sebagainya,” kata beliau yang menambah bahawa kebanyakan elemen hak asasi ketika ini dilihat berpaksikan barat atau ‘western centric’.

Selain itu, ujarnya, elemen adat resam juga penting ke arah aspirasi tersebut.

Rahmat berkata, ia adalah elemen penting harus dilihat, iaitu bahawa pembikinan hak asasi manusia mestilah menggambarkan kedudukan Malaysia yang sebenarnya.

“Ini kita tidak bandingkan, kita ada konstruk semasa hak asasi manusia yang mungkin tidak bersesuaian atau tidak menggambarkan keadaan rakyat dan Malaysia sebenarnya.

“Jadi kita kena ambil kira elemen itu. Itulah maksud saya hak asasi Malaysia perlu mengikut acuan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmat menarik perhatian apabila memaklumkan, beliau adalah seorang ahli akademik dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik.

Menurutnya, pelantikan beliau sebagai Pengerusi SUHAKAM adalah di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Justeru, ia melalui proses yang mempunyai panel pemilihan jadi kalau hendak kata tiada ketelusan, tidak betullah.

“Mana-mana suruhanjaya, itu adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan perkenan atas pelantikan,” katanya.

Jelas Rahmat, beliau tidak menentang jenayah yang tertakluk di bawah Statut Rom seperti jenayah terhadap kemanusiaan, genosid dan jenayah perang.

Namun begitu, beliau berpandangan, perjalanan proses pembuatan atau ratifikasi Statut Rom itu dilihat sebagai tidak betul.

Mengulas lanjut, Rahmat berkata, beliau mempunyai pengalaman sebagai Setiausaha Agung Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO) selama lapan tahun, dengan peranan untuk menasihat dan memberi pandangan tentang perjalanan Statut Rom.

“Jadi, saya melihat banyak isu dan agenda belum dipenuhi kerajaan pada ketika itu. Umpamanya, keperluan yang dipanggil dalam undang-undang antarabangsa sebagai ‘Domestication of Rom Statut into Local Legislation’ tiada dan tidak nampak dari segi itu.

“Di bawah kod kita, iaitu Kanun Keseksaan, hanya mendefinisikan bunuh, tetapi kalau kita hendak ratifikasikan Statut Rom, kena ada umpamanya jenayah terhadap kemanusiaan, genosid, dan jenayah perang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ketua negara ini adalah Yang di-Pertuan Agong dan baginda juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, justeru baginda akan dikaitkan sekiranya ada sabitan kesalahan antara jenayah di bawah Statut Rom tersebut.

“Sebab itu Thailand dan Brunei di mana ada raja, mereka tidak tandatangan Rom Statut. Sebab ada isu...

“Dan saya selama lapan tahun saya terlibat dalam perundingan Asia-Africa, jadi macam mana mereka kata saya anti Statut Rom itu, tidak,” katanya.

Beliau menegaskan, tiada juga konsultasi dengan Majlis Raja-Raja memandangkan Yang di-Pertuan Agong akan dilantik dalam kalangan ahli majlis tersebut.

“Jadi tiada konsultasi di situ dan sebagainya. Pada saya, cara pembuatan atau cara meratifikasikan Rom Statut itu tidak dilakukan dengan betul, cara itu tidak betul.

“Sebab itu saya kata tidak bersetuju berhubung Rom Statut itu. Adakah sebab itu saya tidak layak untuk memimpin SUHAKAM?” soalnya. - Getaran, 4 Julai 2022