
LABUAN: Yayasan Petronas pada Jumaat menyantuni golongan kurang bernasib baik menerusi program Sentuhan Kasih sempena sambutan perayaan Krismas dengan mengagihkan 200 kotak makanan di pulau bebas cukai itu di sini.
Di bawah program itu, selain penerima yang layak, Yayasan Petronas turut menyerahkan sumbangan kepada 20 pesakit di Hospital Nukleus Labuan.
Ketua Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab menyerahkan 20 bakul makanan kepada Pengarah Hospital Nukleas Labuan Dr Adnan Musa Balindran manakala Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC) Rithuan Ismail menyerahkan bakul makanan itu kepada penerima terpilih di dewan serbaguna perbadanan itu.
“Ketika kita meraikan Krismas dan perayaan akhir tahun, adalah penting untuk turut memikirkan keperluan golongan kurang bernasib baik. Kami berharap melalui sumbangan ini, dapat menyebarkan kegembiraan pada musim perayaan ini,” katanya.
Yayasan Petronas turut menyumbang katil boleh laras dan kerusi roda kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah program Homeward bertujuan menyediakan sokongan penjagaan di rumah untuk warga emas dan orang kurang upaya serta pesakit kronik.
“Saya berharap sumbangan ini dapat memberi sokongan kepada penjaga dalam membantu ahli keluarga mereka yang sedang menjalani pemulihan di rumah dan pada masa yang sama membantu JKM menyediakan peralatan ini kepada mereka yang memerlukan,” kata Siti Ayu.
Sempena program Sentuhan Kasih perayaan Krismas pada tahun ini, Yayasan Petronas menyumbang 3,500 bakul makanan di seluruh negara termasuk 1,000 pek di Sabah dan 200 di Labuan.
Program itu juga adalah sebahagian daripada bidang tumpuan pembangunan dan kesejahteraan komuniti Yayasan Petronas, selaras dengan Agenda Kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
