Raih RM16 Juta Hari Ke 4 Tayangan Rasmi, Polis Evo 3 Tepis Filem Hollywood Fast X Dan Pecah Rekod Mat Kilau

Movie
29 May 2023 • 6:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Barisan pelakon merakam kenangan bersama peminat ketika menyertai siri jelajah Polis Evo 3 di Kuala Terengganu. - Gambar Astro Shaw

Selepas 4 hari tayangan rasmi dan tayangan awal (sneak preview) di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura, Polis Evo 3 berjaya mengaut kutipan RM16 juta, sekali gus menjadikan filem arahan Syafiq Yusof ini sebagai filem dengan kutipan paling tinggi pada minggu pembukaan selepas pandemic. 

Ia bukan sahaja telah berjaya mengatasi filem Hollywood, Fast X yang merupakan franchise kepada Fast & Furious tetapi juga berjaya mengatasi rekod kutipan filem Mat Kilau yang sebelum ini hanya memungut RM12.2 juta selepas 4 hari tayangan. 

image is not available
Zizan Razak dan Shaheizy Sam dalam Polis Evo 3. - Gambar Astro Shaw

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan luar biasa yang dicatatkan Polis Evo 3 ini membuktikan filem tempatan masih mendapat sokongan daripada peminat dan menginginkan filem yang berkualiti.

“Memandangkan cuti sekolah telah tiba, kami mengharapkan lebih ramai penonton dapat datang menyaksikan filem aksi komedi ini bersama seisi keluarga kerana filem ini memang sesuai untuk hiburan sekeluarga.”

“Hujung minggu lalu kami telah memulakan sesi jelajah di Pantai Timur dan kehadiran kami di sana telah disambut dengan meriah oleh ribuan penonton serta peminat. 

“Ada dalam kalangan penonton yang sanggup datang dari jauh seperti Kota Bahru semata-mata untuk menyaksikan filem ini di pawagam. Nantikan kunjungan kami bersama barisan pelakon Polis Evo 3 di Utara pada hujung minggu ini pula,” katanya. 

image is not available
Siri jelajah Polis Evo 3 di Kuantan baru-baru ini. - Gambar Astro Shaw

Ikuti siri jelajah Polis Evo 3 seterusnya pada 2 Jun di Seremban; 3, 4, 5 Jun di Kedah, Penang, Perak; dan 8, 9, 10, 11 di Singapura, Johor, Melaka. Untuk butiran lanjut boleh rujuk di akaun media sosial Astro Shaw.

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi. 

Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. 

image is not available
Sharnaaz Ahmad dalam Polis Evo 3. - Gambar Astro Shaw

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai. 

Terdahulu Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23 juta.  – Getaran, 29 Mei 2023 

Gambar: Astro Shaw