PROSES penamaan calon Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka telah dilaksana dengan jayanya, pihak-pihak yang terlibat sedang giat berkempen mendekati para pengundi dalam ruang demokrasi negara yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan. Adalah diharapkan nilai-nilai adab, kesopanan serta akhlak tetap tidak dikorbankan demi meraih sokongan rakyat.
Kita sedang hidup dalam zaman apabila setiap tulisan dan ucapan mampu merentasi sempadan dalam hitungan saat. Ruang komunikasi yang dahulunya terbatas kepada pertemuan bersemuka dan media konvensional kini berkembang menjadi ruang digital yang terbuka, pantas dan hampir tanpa batas. Setiap kenyataan, komentar, gambar dan video bukan sahaja mampu menjangkau jutaan pengguna, bahkan berupaya membentuk persepsi, mempengaruhi emosi serta mencorakkan hubungan dalam masyarakat. Perubahan ini membawa peluang yang besar kepada kehidupan manusia. Namun, pada masa yang sama, ia menuntut tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan kebebasan berkomunikasi itu tidak menghakis nilai kebenaran, adab dan kemanusiaan.
Media sosial bukan sekadar menjadi medium penyampaian maklumat, bahkan telah berkembang menjadi ruang perebutan pengaruh. Dalam persaingan tersebut, masyarakat sering disajikan dengan pelbagai kandungan yang bersifat sensasi, dan provokatif kerana algoritma digital cenderung mengangkat kandungan yang mencetuskan reaksi segera berbanding kandungan yang bersifat mendidik. Adalah lebih membimbangkan sekiranya kandungan-kandungan itu menjurus ke arah fitnah, adu domba serta sentimen kebencian atas nama agama dan perkauman.
Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas untuk mengurus komunikasi awam.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini kerana kejahilan, lalu menyebabkan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan." (Surah al-Hujurat: 6)
Ayat ini menjadi asas kepada keperluan untuk bertabayyun, iaitu menyemak dan mengesahkan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada pihak lain. Dalam era kecerdasan buatan, manipulasi video dan penyebaran maklumat tanpa sempadan, prinsip tabayyun ini menjadi semakin mustahak untuk diamalkan. Setiap pengguna media sosial bukan lagi sekadar penerima maklumat, bahkan berperanan sebagai penyebar maklumat yang turut memikul tanggungjawab akhlak terhadap setiap kandungan yang dikongsikan.
Lebih daripada itu, al-Quran turut mengajar bahawa komunikasi bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi membentuk peribadi dan membina tamadun.
Sebab itulah al-Quran memperkenalkan beberapa prinsip komunikasi yang menjadi asas kepada hubungan sesama manusia.
Antaranya ialah Qaulan Sadida, sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat- benar (dalam segala perkara)." (Surah al-Ahzab: 70)
Qaulan Sadida membawa maksud perkataan yang benar, tepat, jujur dan bertanggungjawab. Dalam konteks komunikasi awam, ia menuntut agar setiap kenyataan yang dikemukakan hendaklah berasaskan ilmu, fakta dan bukannya persepsi, provokasi dan manipulasi emosi.
Al-Quran juga menjulang konsep Qaulan Ma'rufa, iaitu perkataan yang baik, sopan dan membina hubungan baik sesama manusia. Walaupun berlaku perbezaan pendapat, Islam tetap mengajar agar maruah insan sentiasa dipelihara. Kritikan serta komentar boleh disampaikan dengan penuh bijaksana, tetapi penghinaan dan cercaan tidak pernah diizinkan oleh Maha Pencipta.
Bahkan, ketika ALLAH SWT memerintahkan Nabi Musa AS berdialog dengan Firaun yang terkenal dengan kezaliman, ALLAH SWT tetap berfirman yang bermaksud: "Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau berasa takut." (Surah Taha: 44) Ayat ini memberikan mesej yang sangat mendalam bahawa kelembutan bukan tanda kelemahan, tetapi lambang kekuatan akhlak dan kematangan dalam berdialog.
Atas asas inilah Jakim, agensi penyelarasab hal ehwal agama di bawah naungan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membangunkan pelbagai program dakwah serta kempen yang mengajak masyarakat membudayakan komunikasi santun berteraskan nilai Islam. Naratif seperti Sebarkan Salam, Jakim Untuk Ummah, Madani Membantu, bukan sekadar slogan bermusim, sebaliknya merupakan prinsip yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah bagi membentuk ruang demokrasi yang berakhlak dan bertanggungjawab.
Dalam kerangka pembangunan Malaysia Madani, komunikasi yang beretika bukan sahaja menjadi tuntutan agama, bahkan menjadi prasyarat kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu, saling hormat menghormati dan berlaku ihsan.
Apabila ruang digital dipenuhi bahasa yang santun, fakta yang benar serta hujah yang membina, maka media sosial menjadi wahana pendidikan masyarakat.
Bentangkan manifesto, rekod prestasi perkhidmatan serta gagasan masa hadapan masing-masing untuk dinilai oleh masyarakat. Semoga budaya fastabiqul khairat yang disebut dalam Surah Al-Baqarah cuplikan ayat 148 bermaksud: Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat).
Sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Akhirnya, marilah kita menginsafi bahawa setiap perkataan yang ditulis, setiap komen yang ditinggalkan dan setiap kandungan yang dikongsikan bukan sekadar membentuk persepsi manusia, bahkan menjadi rekod amalan yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT. Justeru, marilah kita mengangkat budaya Qaulan Sadida dalam menyampaikan kebenaran, Qaulan Ma'rufa dalam menghormati sesama insan dan Qaulan Layyina dalam mengurus perbezaan.
Kerana akhirnya, masa depan negara yang gemilang itulah yang mahu diwariskan kepada anak cucu. Kita mahu negara ini terus maju jaya tidak hanya pada aspek pembangunan fizikal, bahkan pembangunan sahsiah dan rohaniah turut diberikan keutamaan. Ia mesti dimulakan sekarang dengan adab dan hikmah termasuk dalam ruang demokrasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
* Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
