SERDANG, 17 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan mengunjungi Pavilion Selangor pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah pada jam 11 pagi diiringi EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail dengan memulakan lawatan ke gerai pempamer Agrotrade yang menjual produk keluaran usahawan tempatan.
Baginda kemudian mengunjungi pameran ruminan haiwan ternakan Jabatan Veterinar Malaysia dan laman Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) untuk melihat aktiviti memancing udang laut.
Tengku Amir seterusnya mengunjungi laman Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi melihat galeri kolam ikan air tawar dan akuakultur.

Baginda mengakhiri lawatan di Pavilion Selangor dengan melihat pameran produk hasil keluaran negeri seperti vanilla planifolia, madu kelulut, jagung bijirin berkualiti tinggi, melon Selangor, kelapa dan nanas serta produk agropelancongan.
MAHA 2024 menyasarkan nilai perjanjian persefahaman sebanyak RM6 bilion selain menarik kehadiran tiga juta pengunjung.
Ketika peluncurannya pada Jun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata lebih 180 syarikat antarabangsa berminat menyertai karnival ini selain menyasarkan 2,000 pempamer.
The post Raja Muda berkenan lawat Pavilion Selangor, lihat produk pertanian negeri appeared first on Selangorkini.



