Raja Muda Kedah: Agensi berkaitan perlu lebih aktif kumpul maklumat penduduk miskin

16 Jan 2024 • 6:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA NERANG: Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah agar agensi yang berkaitan untuk lebih aktif mendapatkan maklumat berhubung penduduk miskin di negeri ini untuk dibantu menerusi Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK).

Tengku Sarafudin bertitah sejak TASK ditubuhkan pada Oktober 2022, pelbagai program sumbangan dan bantuan dijalankan yang menjurus ke arah pembangunan insaniah dan kebajikan rakyat.

“Sebab itu kalau kita tengok ada orang serba kekurangan, kita cuba membantu dengan terbaiklah supaya kehidupan mereka lebih selesa. Yang ni (TASK) tak ada garis masa siapa yang memerlukan tu kita terus tolong mereka.

Pada saya ini bukan untuk TASK saja, tapi agensi-agensi lain pun akan bantu juga jadi kerajaan negeri pun akan tahu mana yang memerlukan bantuan, kalau ada yang terima bantuan zakat, bantuan bawah agensi lain pun dapat dibantu,“ titah baginda.

Tengku Sarafuddin bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Baik Pulih Rumah TASK di perkarangan Pejabat Penghulu Mukim Tekai Kiri, di sini hari ini.

Daerah Padang Terap menjadi antara daerah pertama pelaksanaan program di bawah TASK yang dinaungi Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Setakat ini, sebanyak tujuh rumah asnaf terpilih dari Mukim Tualak dan Mukim Tekai Kanan dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM90,000.

TASK juga menyediakan bakul makanan dan wang tunai kepada para penerima yang terpilih dalam usaha meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Sementara itu, seorang penerima bantuan baik pulih rumah dari Kampung Baru, Naka, di sini, Mohd Haikal Osman, 23, bersyukur rumah yang didudukinya dibaik pulih dan dapat menjalani kehidupan lebih selesa berbanding sebelum ini.

“Depa (mereka) baiki bilik baru dengan tandas baru, dulu tandas rosak...Alhamdulillah terima kasih Tuanku Raja Muda sebab bantu keluarga kami,“ katanya. -Bernama