Raja Muda Kedah titah ganding bahu bantu mangsa banjir

27 Dec 2022 • 1:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Sarafudin Badlishah berkenan memasang pelekat kenderaan sempena Majlis Pelepasan Konvoi (Flag-Off) Misi Bantuan Banjir ke Kelantan dan Terengganu di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.

ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menitahkan rakyat saling berganding bahu untuk membantu mereka yang sedang dalam kesusahan berhadapan dengan banjir.

Baginda turut menzahirkan rasa bersimpati dengan kejadian banjir melanda negeri Kelantan dan Terengganu.

"Harap semua dapat keperluan asas (dan) kita tahu banjir sangat teruk. Berdasarkan laporan pada 22 Disember lepas, masih ramai yang terkandas (akibat) banjir.

"Kita patut tolong antara satu sama lain, tidak kira negeri mana-mana pun terkena banjir, kita patut tolong.

"Kita semua duduk bawah satu negara, rakyat satu negara (maka) perlu saling membantu," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita ketika berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi (Flag-Off) Misi Bantuan Banjir ke Kelantan dan Terengganu di pekarangan Stadium Darul Aman di sini pada Selasa.

Tengku Sarafudin turut menasihatkan mangsa banjir untuk mendengar nasihat pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke tempat selamat.

"Apabila keadaan mula selamat, kita boleh balik rumah (maka) baru balik rumah," katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, pihaknya akan menyumbang 24,000 kampit beras lima kilogram (kg) bernilai RM300,000 bagi membantu mangsa banjir di kedua-dua negeri bertujuan meringankan beban mangsa banjir terlibat.

"Ia susulan dua negeri terbabit pada ketika ini sedang berhadapan dengan musibah banjir yang teruk dengan sebanyak 119 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 30,107 orang di Kelantan dan 256 PPS lagi dengan menempatkan 36,231 orang di Terengganu setakat Khamis lepas," katanya.

Zakaria berkata, bantuan beras terbabit akan dihantar menggunakan empat treler dengan 12,000 kampit akan diserahkan ke Kelantan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik),manakala 12,000 kampit beras lagi akan diserahkan di Terengganu melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Misi ini juga akan turut disertai konvoi daripada Syarikat Mudim Zakaria Industries Sdn Bhd yang merupakan muzzaki iaitu pembayar zakat kepada LZNK akan turut menyalurkan sumbangan sebanyak 2,400 botol kicap Mudim kepada mangsa," katanya.

Beliau menyatakan, jumlah keseluruhan kenderaan mengikut 15 kenderaan dengan diiringi empat kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan sebuah kenderaan pengiring dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah.