Raja Muda Selangor Bakal Bernikah, Cik Afzaa Fadini Jadi Pilihan

22 Sep 2025 • 1:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tengku Amir Shah dan Cik Afzaa Fadini - Gambar Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober depan. 

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bakal diijab kabul dengan Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz.

Menurut beliau, istiadat pernikahan itu akan diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di Klang.

“Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober,” katanya. 

Susulan istiadat katanya, satu  majlis bacaan Yasin dan doa selamat akan diadakan pada 25 September di semua masjid seluruh negeri.

“Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor itu diadakan bagi memohon doa semoga Istiadat Perkahwinan dan Majlis yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan sempurna serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya. 

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir pada tarikh berkenaan berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di Shah Alam. - Getaran, 22 September 2025