Raja Muda sertai program tanam pokok di Hutan Simpan Ayer Hitam

LocalEnvironment
21 Sep 2025 • 11:22 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 21 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan ke program penanaman pokok Ecolegacy : Trees For Tomorrow di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, semalam.

Menerusi program berkenaan, Tengku Amir Shah menanam pokok merbau yang diiktiraf sebagai Pokok Kebangsaan Malaysia pada 23 Ogos 2019, kerana menghasilkan kayu keras berat berkualiti tinggi dan terkenal dengan kekuatannya.

“Sejumlah 150 pokok telah ditanam semasa program tersebut yang dianjurkan Putra Business School dan turut disertai 130 peserta.

“Baginda turut meninjau aktiviti demonstrasi memanjat dan kutipan biji benih oleh pasukan memanjat dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan reruai pameran Jabatan Perhilitan Selangor, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia dan MARDI,” kongsi Selangor Royal Office menerusi Instagram.

Program tersebut turut mendapat kerjasama JPNS, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ditaja oleh Mega Fortris dan Coffex.