Raja Norway perlukan perentak jantung kekal

5 Mar 2024 • 5:27 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

OSLO: Raja Norway Harald V (gambar) akan menerima perentak jantung kekal, menurut keluarga diraja pada Isnin, lapor agensi berita Jerman dpa.

Harald, 87, gering semasa bercuti di Malaysia dan dimasukkan ke hospital di sana minggu lepas. Pada Isnin baginda berangkat pulang ke tanah air menaiki pesawat khas yang singgah di Emiriah Arab Bersatu dalam laluannya.

Menurut pegawai Oslo, baginda dipasang dengan perentak jantung sementara di Malaysia sebelum penerbangan pulang, yang menurut doktor peribadinya untuk keselamatan sepanjang perjalanan pulang.

Harald kini berada di hospital di Oslo. Baginda dikatakan semakin pulih daripada jangkitan, namun tahap denyutan jantungnya masih rendah yang memerlukan perentak jantung kekal.

Prosedur itu dilaporkan akan dilakukan sebaik jangkitan sembuh sepenuhnya.

Beberapa anggota keluarga diraja menziarahi baginda di hospital pada Isnin, termasuk Permaisuri Sonja dan Putera Mahkota Haakon.

Baginda mengambil cuti sakit selama dua minggu dan tugas baginda akan diambil alih oleh Haakon sebagai pemangku raja. -Bernama