Raja Permaisuri Agong Berkenan Lawat Hospital Orang Asli Gombak

23 Jul 2024 • 12:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lawatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah adalah sebahagian daripada acara sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Sabtu lepas. – Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan melawat Hospital Orang Asli Gombak (HOAG) di sini hari ini.

Lawatan Seri Paduka Baginda adalah sebahagian daripada acara sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung dengan penuh adat istiadat dan tradisi di Istana Negara pada Sabtu lepas. 

Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah pada 9.53 pagi disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Turut mengiringi, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama isteri masing-masing.

Pada majlis itu, Dzulkefly telah menyampaikan sembah ucapan kepada Raja Permaisuri Agong manakala Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Norazman Ayob menyampaikan sembah taklimat mengenai HOAG kepada Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada HOAG yang diserahkan kepada pengarahnya, Dr Izandis Mohamad Sayed.

image is not available

Selain itu, Raja Permaisuri Agong juga dipersembahkan dengan Tarian Sidud iaitu tarian suku kaum Mah Meri oleh Kumpulan Main Jo’oh Tompoq Topoh dari Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan meluangkan masa setengah jam melawat pesakit di wad HOAG sebelum berangkat balik. – BERNAMA