Raja Permaisuri Agong Berkenan Lawat Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands

6 Mar 2023 • 2:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tunku Hajah Azizah berkenan melawat ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini hari ini. - Gambar Bernama

CAMERON HIGHLANDS - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini hari ini.

Ketibaan Tunku Azizah pada kira-kira pukul 10.15 pagi disambut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus dan kakitangan hospital.

Turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Md Nor serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Tunku Azizah meluangkan masa kira-kira sejam melawat sekitar hospital yang beroperasi sejak 2007 itu dan berkenan mendengar taklimat daripada beberapa orang kakitangan.

Seri Paduka kemudian berharap agar hospital berkenaan ditambah baik dari segi fasiliti dan dilaksanakan penambahan kakitangan supaya rakyat setempat serta pesakit dari negeri berhampiran dapat menggunakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

Raja Permaisuri Agong kemudian berangkat pulang pada kira-kira pukul 11.15 pagi.

Hospital Sultanah Hajjah Kalsom ketika ini mempunyai kapasiti 40 katil, empat buah wad, empat bilik bersalin dan dua dewan bedah.

Kakitangan hospital itu pula terdiri daripada 229 anggota pelbagai jawatan termasuk 16 Pegawai Perubatan, 58 jururawat dan 20 Penolong Pegawai Perubatan. - Bernama