Raja Salim, kontraktor Orang Asli berjaya di Perak

LocalBusiness & Finance
19 Sep 2026 • 7:37 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Raja Salim, kontraktor Orang Asli berjaya di Perak

TAPAH – Kelulusan sekadar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun tidak sesekali melunturkan azam seorang lelaki berumur 48 tahun yang mempunyai darah kacukan India dan Orang Asli untuk bergelar seorang kontraktor berjaya.

Menurut Raja Salim Abdul Rashid, pelbagai pekerjaan rencam telah dilakukannya sejak remaja seperti memotong rumput, membina rumah, penyelenggaraan jalan dan membersihkan tandas untuk mengutip pengalaman dan mempelajari selok belok perniagaan.

“Saya memang banyak bergaul dengan masyarakat Orang Asli sekitar Jalan Pahang di Tapah sejak kecil lagi dan berhasrat ingin memajukan ‘orang’ sendiri untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka supaya lebih baik.

“Pada tahun 2001, saya mula menjadi subkontraktor dengan mengambil projek-projek kecil berkaitan penyelenggaraan jalan, parit dan membina rumah kepada Orang Asli sekitar Tapah oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ­menyebabkan kewangan keluarga saya semakin stabil,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kampung Batu 9, Jalan Pahang, Chenderiang di sini baru-baru ini.

Jelasnya, beberapa tahun kemudian, perniagaannya semakin berkembang sehingga mempunyai syarikat pembinaan yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di bawah gred G2 selain mempunyai pelbagai rangkaian bisnes lain.

“Syukur pendapatan kasar tahunan saya sekarang boleh mencecah sehingga enam ­angka selain memperoleh gaji sendiri sebanyak RM5,000 sebulan. Malah, bisnes berkembang pesat sehingga memiliki beberapa jengkaut, jengkaut belakang, lori, traktor selain beberapa trak pikap untuk kerja-kerja penyelengaraan jalan, membina rumah dan bangunan.

“Selain itu, untuk memastikan kawalan modal pusingan serta kos efektif, saya mem­punyai premis perkakas sendiri untuk bahan-bahan berkaitan pembinaan seperti pasir, batu, simen, mesin penggaul, mesin gerudi, barangan besi dan cat bagi membolehkan rumah atau bangunan dibina dengan se­baiknya,” jelas Raja Salim.

Usahawan ini memberitahu, lebih 50 pekerjanya terdiri daripada masyarakat Orang Asli yang membolehkan mereka mempunyai pendapatan mingguan atau bulanan yang mencukupi untuk menyara keluarga.

“Saya bersyukur kerana ­usaha kecil ini dapat membantu ‘orang’ sendiri malah ada daripada mereka yang mengikut jejak langkah saya dengan menjadi kontraktor secara kecil-kecilan.

“Usaha kerajaaan negeri Pe­rak sekarang dibawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad telah ­menyebabkan kehidupan Orang Asli semakin baik berbanding sebelum ini termasuk pembinaan rumah baharu, membaiki rumah usang serta bekalan kotak makanan kepada mereka yang layak,” katanya.

Lebih menarik, Raja Salim turut mengajar ketujuh-tujuh anaknya terlibat dalam dunia keusahawan dengan masing-masing mempunyai kedai runcit, kedai kraftangan, kafe, salun dan terlibat dalam perniagaan pengangkutan supaya lebih ramai Orang Asli boleh mendapat pekerjaan.

Dia turut mempunyai beberapa rumah sewa dan inap desa sebagai janaan pendapatan sampingan.

Tambahnya, dia bercadang untuk membuka sekolah tahfiz secara percuma pada tahun depan kepada kanak-kanak dan remaja Orang Asli di sekitar Jalan Pahang supaya lebih ramai dapat mempelajari agama Islam secara mendalam terutamanya al-Quran.

“Jakoa banyak membantu terutamanya melibatkan projek penyelengaraan jalan dan membina rumah serta infrastruktur awam seperti jambatan yang terus membuka peluang kepada saya untuk terus berkembang.

“Sementara itu, Majlis Daerah Tapah dan Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang banyak membantu berkaitan lesen perniagaan dan permit, membolehkan urusan perniagaan saya menjadi lebih lancar,” katanya.

Jakoa membantu masyarakat Orang Asli di negara ini termasuk Perak melalui pelbagai program pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan kesejahteraan komuniti termasuk geran bantuan bimbingan usahawan.

Perkembangan tersebut selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang menepati flagship ke-18 pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Santuni Orang Asli yang antara penerajunya ialah Jakoa hasil cetusan berwawasan Saarani bagi membawa negeri Perak ke arah kemajuan dan kondusif. -KOSMO! ONLINE

The post Raja Salim, kontraktor Orang Asli berjaya di Perak appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved