Rakaman Bodycam Dedah Detik Penahanan Justin Timberlake, Rakan ‘Jual Nama NSYNC’ Pujuk Polis

LocalEntertainment
22 Mar 2026 • 3:14 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Sag Harbor, New York — Rakaman kamera badan (bodycam) milik polis mendedahkan detik penahanan penyanyi terkenal, Justin Timberlake, dalam insiden disyaki memandu di bawah pengaruh (DWI) pada Jun 2024.

Menurut laporan TMZ, video berdurasi kira-kira 18 minit itu menunjukkan Timberlake menjalani beberapa pemerhatian fizikal oleh polis bagi menilai keadaannya.

Timberlake Kelihatan Keliru, Akui Ujian ‘Susah’

Dalam rakaman tersebut, Timberlake dilihat memberi kerjasama penuh dan bersikap sopan sepanjang pemeriksaan dijalankan. Namun, beliau beberapa kali kelihatan keliru dengan arahan diberikan.

Pada satu ketika, dia dilaporkan berkata, “Ini macam susah,” sebelum diminta berjalan dalam garis lurus, di mana dia dilihat sedikit terhuyung-hayang.

Tidak lama kemudian, Timberlake turut memaklumkan bahawa jantungnya berdegup laju, dipercayai akibat tekanan ketika pemeriksaan dilakukan.

Rakan Rayu Dengan ‘Menjual’ Nama NSYNC

Situasi menjadi lebih mencuri perhatian apabila seorang rakan wanita Timberlake yang berada di lokasi cuba merayu kepada pihak polis agar tidak menahannya.

Wanita tersebut menawarkan diri untuk memandu kenderaan Timberlake, namun tidak dibenarkan. Dalam usaha memujuk, dia turut menyebut lagu popular seperti “Bye Bye Bye” dan “SexyBack” serta ‘menjual’ nama NSYNC sebagai modal rayuan.

Rayuan itu akhirnya memberi sedikit kelonggaran apabila polis membenarkan wanita berkenaan bercakap sebentar dengan Timberlake sebelum dia dibawa ke balai.

Isu Privasi Dan Pelepasan Rakaman

Terdahulu, Timberlake dilaporkan cuba menghalang pelepasan rakaman tersebut dengan alasan ia merupakan pencerobohan privasi.

Namun, pihak Sag Harbor Police Department memaklumkan satu persetujuan telah dicapai untuk mengeluarkan versi rakaman yang telah disunting.

Kes Selesai Tanpa Tuduhan Jenayah

Dalam perkembangan sama, Timberlake akhirnya mencapai penyelesaian kes dengan mengaku bersalah atas kesalahan trafik lebih ringan, tanpa melibatkan tuduhan memandu dalam keadaan mabuk atau kesalahan jenayah.

Kes tersebut sebelum ini tular di media sosial, termasuk penyebaran gambar tangkapannya serta pelbagai meme yang mengaitkan insiden itu dengan konsert jelajahnya.

Walaupun mencetuskan perhatian ramai, penyanyi itu hanya dikenakan tindakan ringan tanpa hukuman berat. – The Malaysian Update

The post Rakaman Bodycam Dedah Detik Penahanan Justin Timberlake, Rakan ‘Jual Nama NSYNC’ Pujuk Polis appeared first on The Malaysian Update.