
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu penghuni asrama yang berada di dorm ketika Zara Qairina Mahathir disoal mengenai satu kes kecurian tidak berani menenangkannya selepas dimarahi dengan “garang” oleh pelajar senior.
Peguam Rizwandean M Borhan bersama peguam Shahlan Jufri dan Mohd Sharulnizam Mohd Salleh ketika memberi taklimat kepada media pada Selasa berkata saksi kanak-kanak ketujuh menyatakan tiada seorang pun rakan dorm yang berani menenangkan Zara.
Rizwandean berkata saksi itu menggambarkan pelajar senior yang menegur Zara ketika itu sebagai “garang.”“Saksi menyatakan ketika pertemuan dengan senior Zara kelihatan takut. Empat pelajar masuk ke dalam dorm dan terus menuju ke arah Zara yang sedang duduk bersila di lantai.
“Salah seorang daripadanya jelas menengking Zara dengan kuat, menjerit serta menggunakan kata-kata kesat dalam bahasa Melayu. Seorang lagi pelajar turut menegur Zara,” kata Rizwandean.
Menurutnya saksi itu memberitahu Zara dikenali sebagai seorang pelajar yang ceria.
“Dia seorang yang suka berbual dan menyapa pelajar lain dengan sopan. Saksi berkata dia kadang-kadang bertegur sapa dengan Zara apabila bertemu. Dia tahu Zara bercita-cita menjadi Badar (Pengawas Surau).
“Namun saksi berkata terdapat juga pelajar yang tidak menyukai personaliti Zara kebanyakannya kerana Zara mencatat nama mereka yang ponteng Solat Jemaah di surau.
“Saksi turut berkata Zara menganggap seorang pelajar senior sebagai kakaknya sendiri dan pernah menyatakan bahawa senior itu adalah senior kegemarannya,” jelas Rizwandean.
Beliau berkata pihaknya tidak dapat memberi taklimat mengenai saksi kelapan kerana keterangan masih belum selesai. Prosiding akan bersambung pada 7 Oktober dengan keterangan daripada seorang ahli kimia.
Sementara itu Rizwandean bersama pasukannya yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat turut merakamkan ucapan tahniah kepada Hamid Ismail atas pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
“Kami hargai segala usaha, masa dan bimbingan beliau sejak peringkat awal kes ini termasuk memastikan bedah siasat dijalankan, siasatan dibuat dengan teliti dan akhirnya membawa kepada prosiding inkues ini.
“Noraidah serta pasukan kami amat menghargai usaha ini dan mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam melaksanakan tanggungjawab baharu,” kata Rizwandean.


