SUBANG JAYA, 8 SEPT: Usaha Kerajaan Negeri memastikan penduduk cakna kesihatan diri dan mencegah penyakit diperingkat awal melalui program saringan kesihatan percuma dipuji.
Menurut warga emas Lim Kian Heng, 71, program Selangor Saring membantu golongan sepertinya berjimat memandangan ujian seumpama itu diluar memerlukan belanja yang tinggi.

“Saya amat menyokong usaha Kerajaan Negeri kerana program ini memberi manfaat yang banyak kepada penduduk terumatanya warga emas seperti saya.
“Ini kali pertama saya sertai Selangor Saring. Pastikan di sini saya dapat menjimatkan kos berbanding membuat saringan di luar,” katanya yang hadir bersama isteri.

Kian Heng antara ratusan peserta yang hadir ke program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri Subang Jaya di Dewan MBSJ SS15, di sini hari ini.
Sementara itu Suzainezah Salleh Hudin, 46, pula berpandangan program berkenaan meningkat kesedaran rakyat untuk mencegah penyakit diperingkat awal.

“Saya manfaat hujung minggu untuk buat saringan di sini hari ini. Rugi kalau tidak ambil peluang memandangkan ia percuma,” kongsinya.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.


The post Rakyat hargai usaha Selangor sedia saringan kesihatan percuma appeared first on Selangorkini.

