‘Rakyat jadi penonton, keluarga jadi pelakon’, YB Bachok lontar kritikan ekonomi Madani

LocalPolitics
27 May 2025 • 12:07 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, melontarkan kritikan keras terhadap pendekatan ekonomi Kerajaan Perpaduan yang menurutnya telah menyimpang daripada janji-janji reformasi yang dilaungkan sebelum ini.

Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau menegaskan bahawa Ekonomi Madani bukan sahaja gagal memulihkan kedudukan ekonomi rakyat, malah didakwa mewarisi budaya politik lama yang sebelum ini ditentang oleh pihak yang kini memerintah.

“Setelah bertahun melaungkan reformasi, kita akhirnya ditayangkan dengan 1001 janji yang tidak ditunaikan, formula yang tidak menjadi, malah tanpa segan silu meneruskan budaya politik lama yang ditentang selama ini,” katanya.

Realiti rakyat

Menurut beliau, di sebalik pelbagai kenyataan rasmi yang menyebut ekonomi negara “kukuh dan berdaya tahan”, realiti yang dirasai rakyat adalah sebaliknya iaitu kos sara hidup meningkat, harga barangan terus naik, dan rakyat semakin tertekan.

“Dompet rakyatlah yang menjadi saksi, betapa ekonomi rakyat sebenarnya semakin tidak berdaya tahan, malah lebih rapuh daripada sistem subsidi yang dikatakan ‘perlu distrukturkan semula’,” tambahnya.

Syahir juga mempersoalkan tindakan kerajaan, apabila subsidi untuk rakyat dianggap “beban”, manakala bantuan korporat dikategorikan sebagai “galakan pelaburan”.

“Jika rakyat disuruh berjimat ketika kos hidup naik, syarikat besar pula mendapat ‘bailout’ bila rugi berbilion atas nama pelaburan strategik,” tegas beliau.

Dicipta melalui hubungan dan kuasa

Beliau turut menyindir bahawa dalam Ekonomi Madani, kejayaan bukan ditentukan oleh inovasi, tetapi lebih kepada mencipta hubungan dengan kuasa, sama ada melalui kroni mahupun keluarga.

“Nilai yang paling banyak disebut kini bukan ‘nilai integriti’ atau ‘nilai produktiviti’, tetapi ‘nilai kontrak’,” katanya sinis.

Syahir membangkitkan persoalan etika apabila kerajaan didakwa bersengkongkol dengan pelaburan asing seperti BatuHitam, yang dikaitkan dengan jenayah perang di peringkat global.

Beliau menyamakan Ekonomi Madani dengan sebuah pentas sandiwara, di mana rakyat hanyalah penonton pasif yang hanya mampu memerhati, manakala kuasa sebenar dimainkan oleh segelintir elit politik.

“Watak pelakon utama dimainkan oleh gandingan ‘kroni-keluarga’, yang walaupun tampak seiring di hadapan, hakikatnya bertikaman di belakang untuk merebut kek ekonomi yang semakin mengecil,” katanya.