Rakyat Johor cepat ‘move on’, fokus kestabilan negeri — Noor Azleen

LocalPolitics
26 May 2026 • 3:01 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

 

Rakyat Johor disifatkan sebagai matang dalam berpolitik dan tidak terlalu lama terperangkap dalam polemik, termasuk ketika berlaku pertukaran Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, meskipun keputusan pertukaran kepimpinan negeri ketika itu mengejutkan banyak pihak, rakyat Johor memilih untuk memberi keutamaan kepada kestabilan serta kepentingan negeri berbanding terus beremosi.

“Mulanya memang ada kontroversi, malah kami sendiri pun terkejut sebab poster boy lain, tetapi Menteri Besar yang diumumkan orang lain,” katanya dalam temu bual OMM Podcast.

Image from: Rakyat Johor cepat ‘move on’, fokus kestabilan negeri — Noor Azleen

Menurut beliau, sikap rakyat Johor yang cepat menerima keadaan membantu memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar tanpa konflik berpanjangan.

“Orang Johor ini cepat move on. Kalau merajuk pun tidak lama. Mereka lebih melihat kepada kepentingan negeri dan bangsa Johor itu sendiri,” ujarnya.

Noor Azleen berkata, UMNO Johor sendiri mengambil pendekatan berjiwa besar dengan menerima keputusan berkenaan demi memastikan kestabilan politik negeri dapat dikekalkan.

Katanya, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad juga menunjukkan kematangan politik apabila terus memberi sokongan kepada kepimpinan baharu negeri tanpa mengungkit perkara lama.

“Datuk Hasni sendiri tidak pernah mengungkit soal itu. Itu bezanya pemimpin Johor dengan negeri lain. Kita sentiasa letakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik yang wujud ketika ini menjadi antara faktor kepada pencapaian serta perkembangan positif negeri Johor sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengulas mengenai masa depan politik Johor menjelang PRN akan datang, Noor Azleen yakin situasi seperti pertukaran kepimpinan sebelum ini tidak akan berulang memandangkan hubungan pentadbiran negeri ketika ini berada dalam keadaan baik.

Jelas beliau, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga mempunyai hubungan yang baik dengan pelbagai pihak termasuk Istana Johor serta kepimpinan pusat UMNO.

“Menteri Besar yang ada sekarang buat kerja dengan baik, ada hubungan yang baik dengan semua pihak dan mendapat sokongan daripada pihak istana serta kepimpinan pusat,” jelas Noor Azleen.
Image from: Rakyat Johor cepat ‘move on’, fokus kestabilan negeri — Noor Azleen

Foto arkib: Harian Metro

Pada masa sama, Noor Azleen menegaskan agenda utama kerajaan negeri perlu terus tertumpu kepada kebajikan rakyat serta perpaduan bangsa Johor.

“Apa juga pembaharuan yang dibuat mestilah untuk kepentingan negeri dan rakyat.
“Yang penting bangsa Johor terus muafakat, hidup selesa, tidur malam rasa selamat dan ada keyakinan dengan pimpinan negeri,” ujarnya.

 

Sementara itu, beliau menegaskan fenomena rakyat Johor bekerja di Singapura bukan menunjukkan kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan, sebaliknya sebahagian daripada ekonomi rentas sempadan.

Beliau berkata, kedudukan Johor yang berjiran dengan Singapura perlu dilihat sebagai kelebihan kepada ekonomi negeri.

“Johor ini unik kerana berjiran dengan negara maju dan itu sebenarnya satu kelebihan melalui cross border economy,” katanya lagi.

Menurutnya, situasi pekerja berulang-alik antara dua negara merupakan fenomena biasa yang turut berlaku di banyak negara lain.

Noor Azleen berkata, kerajaan sendiri sentiasa memudahkan pergerakan antara Johor dan Singapura menerusi infrastruktur seperti Tambak Johor, Linkedua dan projek Rapid Transit System (RTS).

Image from: Rakyat Johor cepat ‘move on’, fokus kestabilan negeri — Noor Azleen

Foto arkib: FB Noor Azleen Ambros

Beliau turut berpandangan Singapura juga bergantung kepada tenaga kerja dari Johor, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

“Kalau pekerja dari Johor tak masuk bekerja, ekonomi Singapura juga akan terkesan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan peluang pekerjaan di Johor tetap wujud dan kerajaan negeri terus menekankan soal gaji bermaruah serta peluang kenaikan kerjaya.

“Peluang pekerjaan memang ada di Johor dan kita mahu pekerjaan itu datang dengan gaji lebih baik serta career progression.
“Jangan politikkan perkara ini kerana ia sebenarnya memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.