
LENGGONG - Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan gembira dengan pelantikan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.
Melalui pelantikan itu, kerajaan negeri yang dibentuk antara BN dan Pakatan Harapan (PH) diyakini mampu melaksanakan pembangunan dan pentadbiran yang cekap serta bersih di negeri ini.
Mereka berpendapat pelbagai masalah yang dihadapi rakyat perlu ditangani dengan berkesan serta tidak menggugatkan perpaduan kaum.
Seorang penduduk yang ditemui, Azam Teh, 74, berkata, pihaknya mahukan pentadbiran baharu tidak memungkirkan janji apabila kerajaan bergabung.
Katanya, setiap kepentingan rakyat hendaklah diberikan perhatian dan tidak melupakan apa yang dijanjikan pada pilihan raya supaya rakyat mendapat perhatian sewajarnya.
“Saya mahu setiap kaum mengekalkan perpaduan dan menangani setiap masalah yang dihadapi dalam pentadbiran negeri,” katanya pada Selasa.
Seorang lagi penduduk, Mohd Zakaria Abdullah, 60, berkata, perkongsian kuat mentadbir negeri hendaklah dilaksanakan dengan baik.
“Kerjasama ini sudah ditentukan Allah SWT dan saya harap kerajaan negeri dapat menjalankan tanggungjawab demi kepentingan rakyat.
“Biarlah rakyat menilai sendiri kerjasama dan melakukan perubahan kerana ia adalah pilihan rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, pekerja kampung, Zaimi Zan, 43, menyifatkan Saarani mempunyai pandangan yang jauh demi mengekalkan kemakmuran dan pembangunan yang dirancang di negeri ini.
“Saya yakin dengan kepimpinan Saarani yang mempunyai visi dan misi seperti yang dicetusnya dalam Perak Sejahtera 2030 ke arah memajukan negeri ini.
“Sebagai pengundi di sini, saya harap tidak berlaku pergolakan yang boleh menjejaskan kepentingan setiap kaum,” ujarnya.
Bagi peniaga, Teoh Ling, 50, pula berkata, gabungan kerajaan BN dan PH memberikan ruang kerjasama yang baik dalam merancangkan pembangunan di negeri ini.
“Saya percaya Saarani mempunyai tanggungjawab bagi memastikan pembangunan diteruskan dan mengelak berlakukan perpecahan dalam pentadbiran negeri ini,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Maznah Saod, 43, berkata, tindakan yang dilakukan Saarani untuk membentuk kerajaan negeri amat baik demi perpaduan rakyat serta mengekalkan kestabilan kerajaan baharu.
“Jika Saarani mempunyai matlamat yang jelas untuk menjaga kepentingan rakyat, kerjasama antara parti ini dapat mengelak berlakunya kacaubilau di negeri ini.
"Saya yakin dengan kepimpinan Saarani yang mempunyai pengalaman sebagai Menteri Besar sebelum ini mampu melonjakkan pembangunan secara adil kepada semua rakyat," tambahnya..

